BH Online
Ringkasan Berita

Suami isteri rayu Elvira Rosa tampil bantu selesaikan dokumentasi anak angkat

KUALA LUMPUR: “Saya berharap ibu kandungnya dapat tampil membantu selesaikan urusan dokumentasi Raykal Rafka,” rayu Mohd Saiful Azhar Zakaria, 40, bapa angkat kepada Muhammad Raykal Rafka,
Suami isteri rayu Elvira Rosa tampil bantu selesaikan dokumentasi anak angkat

Orang ramai yang ada maklumat mengenai Elvira Rosa boleh hubungi Mohd Saiful di talian 019-9998854

KUALA LUMPUR: "Saya berharap ibu kandungnya dapat tampil membantu selesaikan urusan dokumentasi Raykal Rafka," rayu Mohd Saiful Azhar Zakaria, 40, bapa angkat kepada Muhammad Raykal Rafka,

Mohd Saiful kini giat mengesan Elvira Rosa, ibu kandung kanak-kanak itu bagi membolehkan urusan pengambilan anak angkat dapat disempurnakan mengikut prosedur.

Mohd Saiful berkata, dia dan isteri, Nor Shyakila Buyong, 35, yang sudah 10 tahun mendirikan rumah tangga tanpa dikurniakan cahaya mata mengambil Muhammad Raykal Rafka sebagai anak angkat ketika dia berusia tiga bulan, dua tahun lalu.

Katanya, bayi yang dilahirkan pada 24 Jun 2024 di Johor Bahru, Johor i diserahkan ibu bapa kandungnya yang juga warga Indonesia di sebuah hospital selepas bersetuju memberikan hak penjagaan kepada mereka.

"Sebelum membawa pulang bayi berkenaan, saya turut membantu menjelaskan kos rawatan hospital kerana bayi itu mengalami masalah kesihatan sejurus dilahirkan.

"Kami juga membuat laporan polis serta menguruskan beberapa proses awal di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Bagaimanapun, ketika urusan dokumentasi membabitkan agensi berkaitan sedang dijalankan, wanita terbabit menghilangkan diri," katanya.

Menurutnya, pelbagai usaha sudah dilakukan untuk mengesan Elvira Rosa namun menemui jalan buntu selepas difahamkan wanita itu sudah pulang ke negaranya.

"Keadaan menjadi lebih sukar kerana kami tidak mempunyai gambar wanita berkenaan," katanya.

Jelasnya, kehilangan wanita itu menyebabkan mengambil anak angkat tidak dapat diselesaikan kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memerlukan kehadiran atau pengesahan bagi melengkapkan dokumentasi.

"Jadi sebab itu saya membuat hebahan ini. Saya cuma berharap ibu kandung tampil bagi membantu melengkapkan urusan dokumentasi supaya masa depan anak ini lebih terjamin," katanya.

Justeru, Mohd Saiful berharap mana-mana individu yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Elvira Rosa dapat tampil menghubunginya dengan segera supaya proses pengangkatan rasmi dapat diselesaikan demi kebajikan dan masa depan Muhammad Raykal Rafka.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Elvira Rosa boleh hubungi talian 019-9998854.

Video Terkini

Berita Berkaitan