BH Online
Ringkasan Berita

Mahu jadi jaguh Israel, rakyat AS terabai

Tindakan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) mengugut Malaysia supaya mengubah dasar imigresennya dalam tempoh 15 hari bukan sahaja menunjukkan kejahilan, malah mewarisi keangkuhan politik kuasa besar yang semakin tidak relevan dalam dunia multipolar. Gesaan supaya pembiayaan Program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) digantung jika Putrajaya enggan tunduk ialah diplomasi membuli, bukannya hubungan antara negara berdaulat.
Mahu jadi jaguh Israel, rakyat AS terabai
strap-minda_1785195010.jpg

Tindakan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) mengugut Malaysia supaya mengubah dasar imigresennya dalam tempoh 15 hari bukan sahaja menunjukkan kejahilan, malah mewarisi keangkuhan politik kuasa besar yang semakin tidak relevan dalam dunia multipolar. Gesaan supaya pembiayaan Program Pendidikan dan Latihan Ketenteraan Antarabangsa (IMET) digantung jika Putrajaya enggan tunduk ialah diplomasi membuli, bukannya hubungan antara negara berdaulat.

Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss sepatutnya memahami Malaysia sudah puluhan tahun tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel serta berhak menentukan siapa boleh memasuki wilayahnya. Lebih menghairankan, mereka begitu ghairah menjadi pembela Israel sehingga sanggup mengancam hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia.

Hakikatnya, pendirian mereka semakin tidak popular dalam kalangan rakyat AS sendiri. Tinjauan menunjukkan hampir separuh penyokong Demokrat berpendapat Washington memberikan terlalu banyak bantuan ketenteraan kepada Israel, manakala pandangan rakyat AS terhadap Israel dan kerajaannya semakin negatif.

Ahli Kongres terbabit wajar melihat cermin di halaman sendiri. Ketika kira-kira 27.1 juta rakyat AS tidak memiliki insurans kesihatan sepanjang 2024, keluarga bergelut membayar sewa, rawatan dan ubat, sekolah awam kekurangan sumber, hutang pendidikan menghimpit generasi muda serta gelandangan memenuhi bandar, apakah mempertahankan Israel tanpa batas benar-benar keutamaan rakyat?

Tinjauan AP-NORC bagi 2026 mendapati tujuh daripada 10 rakyat AS mahu kerajaan mengutamakan isu ekonomi, manakala kesihatan turut menjadi agenda utama dan perhatian terhadap dasar luar semakin menurun. Namun, lapan wakil rakyat itu memilih mengejar Malaysia beribu-ribu kilometer jauhnya, seolah-olah kebajikan pengundi mereka sudah terbela sempurna.

Gelombang penolakan turut muncul dalam kalangan calon Demokrat sendiri. Abdul El-Sayed di Michigan lantang mengkritik pengaruh Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika-Israel (AIPAC) serta menjadikan Medicare untuk Semua, perumahan mampu milik dan pendidikan berkualiti sebagai teras kempen, manakala James Talarico di Texas menolak penjualan senjata ofensif kepada kerajaan Benjamin Netanyahu sambil mengutamakan sekolah awam, penjagaan kesihatan, kos sara hidup dan kebajikan pekerja. Malah, lebih 100 Ahli Dewan Perwakilan Demokrat baru-baru ini, menyokong usaha menghentikan bantuan ketenteraan tertentu kepada Israel, menunjukkan sokongan membuta tuli tidak lagi menjadi pendirian tunggal parti itu.

Kita tetap menolak kebencian terhadap mana-mana kaum atau agama, tetapi mengkritik Israel, menentang kependudukan Palestin serta melaksanakan dasar imigresen berdasarkan kepentingan negara tidak boleh sewenang-wenangnya disamakan dengan kebencian terhadap Yahudi. Taktik melabel setiap bantahan sebagai antisemitik hanya menumpulkan makna sebenar istilah itu dan melindungi kerajaan Israel daripada pertanggungjawaban.

Malaysia mempunyai hak menjawab ugutan ini dengan tegas, tetapi kita tetap menyampaikannya secara berhemah serta terus memelihara hubungan baik dengan rakyat, pelabur dan perniagaan AS. Namun, hubungan itu tidak boleh dibeli dengan menyerahkan kedaulatan atau menutup mata terhadap penderitaan Palestin.

mndasdas

Video Terkini

Berita Berkaitan