KUALA LUMPUR: Kempen ikonik Gaji Seumur Hidup anjuran Nestlé Malaysia kembali untuk edisi ketiga dengan menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM4 juta, termasuk hadiah utama RM3,500 sebulan seumur hidup kepada seorang pemenang.
Berlangsung dari 1 Ogos hingga 30 September ini, kempen itu turut memperluas manfaat kepada masyarakat menerusi sumbangan RM900,000 kepada 21 pertubuhan amal di seluruh negara, sekali gus menjadi edisi terbesar setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Juan Aranols, berkata kempen itu dibawakan semula selepas menerima permintaan tinggi daripada rakyat Malaysia yang menantikan kemunculannya.
Beliau berkata, pihaknya sering menerima pertanyaan mengenai sama ada kempen berkenaan akan diadakan semula.
"Ramai rakyat Malaysia bertanya kepada kami, 'Adakah Gaji Seumur Hidup akan kembali? Bilakah ia akan bermula?
"Disebabkan permintaan itu, kami merasakan kempen ini perlu diteruskan dari semasa ke semasa. Malah, ini edisi terbesar setakat ini. Selain menawarkan lebih ramai pemenang, kami juga menyokong 21 pertubuhan amal.
"Kami melihat kempen ini bukan sahaja memberi nilai kepada pengguna yang memilih produk Nestlé setiap kali membeli-belah, malah mempunyai tujuan yang lebih besar apabila kami bekerjasama dengan badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang melakukan pelbagai usaha bagi membantu masyarakat," katanya.
Juan berkata, walaupun kini memasuki edisi ketiga, kempen itu masih mengekalkan matlamat asal ketika diperkenal pada 2020, iaitu membantu masyarakat yang berdepan cabaran semasa pandemik COVID-19.
"Matlamat murni yang bermula ketika pandemik COVID-19, iaitu bagaimana kami boleh terus membantu komuniti, masih menjadi teras kempen ini.
"Ini bukan sekadar mengenai jenama Nestlé atau mewujudkan keterujaan dalam kalangan pengguna, tetapi juga mengenai kerjasama dengan NGO yang membantu puluhan ribu individu yang berdepan pelbagai cabaran.
"Bagi kami, ini sebahagian daripada tujuan Nestlé memberi kesan positif kepada masyarakat melalui setiap kegiatan yang kami jalankan, termasuk di luar operasi perniagaan kami," katanya.
Selain hadiah utama RM3,500 sebulan seumur hidup kepada seorang pemenang, kempen itu turut menawarkan dua Hadiah Pertama RM3,500 sebulan selama dua tahun serta 18 Hadiah Sagu Hati RM3,500 sebulan selama setahun.
10,000 hadiah mingguan
Kempen itu juga menawarkan 10,000 hadiah mingguan berupa PIN tambah nilai e-Dompet Touch 'n Go bernilai RM100 setiap seorang, menjadikan keseluruhan nilai hadiah yang ditawarkan melebihi RM4 juta.
Sejak diperkenal pada 2020, Gaji Seumur Hidup menawarkan hadiah tunai melebihi RM8 juta kepada ribuan rakyat Malaysia, selain menyalurkan RM1.5 juta kepada 35 badan amal di seluruh negara.
Pemenang edisi 2024, Lim Yuen Heng, 49, berkata kemenangan itu bukan sekadar menghadiahkan ganjaran kewangan, malah memberi keyakinan kepada beliau dan keluarga untuk merancang masa depan, terutama ketika berdepan keadaan ekonomi yang tidak menentu.
"Gaji Seumur Hidup ini benar-benar mengubah kehidupan saya dan keluarga. Kami kini lebih yakin merancang kewangan, terutama untuk persaraan serta pendidikan anak pada masa depan.
"Lebih bermakna, kempen ini turut memberi saya peluang menyumbang kepada pertubuhan kebajikan bagi membantu lebih ramai golongan yang memerlukan," katanya.

Sementara itu, pemenang Hadiah Utama edisi pertama pada 2020, Amirrul Hafiz Razak, 38, menyeru rakyat Malaysia supaya menyertai kempen itu kerana percaya peluang terbuka kepada sesiapa sahaja.
"Kita tidak tahu mana satu rezeki kita. Mungkin satu resit itu mampu mengubah kehidupan kita kerana rezeki tidak pernah salah alamat," katanya.
Untuk menyertai kempen ini, orang ramai hanya perlu membuat pembelian minimum RM20 bagi produk Nestlé yang mengambil bahagian sebelum menghantar resit pembelian menerusi WhatsApp.
Peserta juga boleh menghantar seberapa banyak penyertaan bagi meningkatkan peluang memenangi hadiah.
Maklumat lanjut boleh didapati di https://nes.tl/gaji-seumur-hidup-2026.


















