KUALA LUMPUR: Jumlah diesel terjual di stesen minyak di Sabah dan Sarawak pada Mac dan April lalu mencecah 200 juta liter sebulan, dua kali ganda lebih tinggi berbanding tahap sepatutnya berdasarkan bilangan kenderaan diesel berdaftar untuk kedua-dua negeri.
Perkara itu dimaklumkan Kementerian Kewangan (MOF) sekali gus menjadi antara tiga alasan utama mengapa kerajaan mengambil langkah melaksanakan pembaharuan penyasaran subsidi diesel.
Menurut MOF, jurang harga ketara antara harga diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak (RM2.15 seliter) dengan harga pasaran meningkatkan aktiviti penyeludupan, selain tiris kepada bukan warganegara yang tidak sepatutnya menikmati subsidi.
Dua lagi alasan adalah pertambahan perbelanjaan subsidi bahan api akibat lonjakan harga dan gangguan rantaian bekalan susulan konflik Asia Barat yang turut mengancam keterjaminan bekalan, selain faktor kejayaan BUDI95 melalui mekanisme pengesahan MyKad yang diterima rakyat.
MOF berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Nelson W Angang melalui jawapan lisan Dewan Negara yang disiarkan di laman web Parlimen.
Perdana Menteri, datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Jun lalu mengumumkan pelaksanaan pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang menyaksikan harga diesel di pam seragam dengan harga tanpa subsidi di seluruh negara.
Perdana Menteri turut mengumumkan penggunaan cara tunggal bagi pengurusan subsidi bahan api iaitu rakyat memanfaat subsidi RON95 dan diesel melalui MyKad sebagai kaedah pengesahan kelayakan, selain harga diesel bersubsidi turun kepada RM2.10 seliter untuk dinikmati rakyat Malaysia yang layak.
Mengulas lanjut, MOF menegaskan meskipun kerajaan bersama PETRONAS bertungkus-lumus mempelbagaikan sumber bekalan bagi memastikan kelangsungan bekalan bahan api negara, usaha ini menjadi sia-sia sekiranya isu ketirisan tidak ditangani dengan tegas.
Hal ini lebih ketara di Sabah dan Sarawak kerana bukan warganegara turut menikmati harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter.
"Jurang harga besar dengan negara jiran mewujudkan ruang penyeludupan yang sukar dibendung walaupun penguatkuasaan telah ditingkatkan," katanya.
2 impak pembaharuan BUDI MADANI
Mengenai Pembaharuan BUDI MADANI, MOF memaklumkan ia membawa dua impak utama iaitu kelangsungan bekalan diesel terjamin di pasaran negara serta rakyat dapat terus menikmati diesel pada harga lebih rendah.
Mengulas lanjut, ketirisan akibat penyeludupan dan penyalahgunaan oleh bukan warganegara dan industri dapat dibendung lebih berkesan apabila harga di pam ditetapkan pada harga pasaran, sekali gus menjamin kelangsungan bekalan di pasaran negara.

"Pembaharuan ini dijangka menjimatkan perbelanjaan subsidi sehingga RM2 bilion setahun, memberi peluang kepada kerajaan untuk mengagihkan sebahagian penjimatan untuk menurunkan harga diesel bersubsidi daripada RM2.15 kepada RM2.10 seliter.
"Bermakna pembaharuan ini membolehkan rakyat Malaysia mendapat keistimewaan sebagai warganegara dengan menikmati diesel pada harga lebih rendah," katanya.
MOF turut menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan rakyat dan perusahaan kecil dan sederahan (PKS) kekal dilindungi meskipun penyasaran subsidi dilaksanakan.
"Langkah ini membolehkan kerajaan meningkatkan peruntukan bantuan bersasar kepada rakyat, sekali gus meningkatkan pendapatan boleh guna yang secara langsung akan memberi kesan positif kepada persekitaran ekonomi negara," katanya.























