SERDANG: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berdepan risiko tinggi ketika memadam kebakaran besar di Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, di sini, malam tadi, susulan kewujudan kira-kira 2,000 tin gas metana di dalam premis yang terbakar sehingga mencetuskan beberapa siri letupan pada peringkat awal kejadian.
Situasi itu menjadi lebih mencabar apabila api marak dengan pantas akibat tiupan angin kuat, selain operasi pemadaman turut berdepan kekangan selepas lima pili bomba berhampiran tidak dapat digunakan kerana berada di bawah seliaan pihak swasta.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor, Ashrul Riezal Asbar, berkata seramai 68 pegawai dan anggota JBPM bersama 67 anggota Bomba Sukarela dikerahkan ke lokasi bagi mengawal kebakaran yang dipercayai bermula kira-kira jam 10.50 malam.
Beliau berkata, 15 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dari sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan bantuan 19 jentera terbabit dalam operasi memadam kebakaran.
"Berdasarkan penilaian di lokasi, kita dimaklumkan terdapat kira-kira 2,000 tin gas metana di dalam premis berkenaan.
"Pada peringkat awal memang berlaku beberapa siri letupan, namun Alhamdulillah kita berjaya mengawalnya sekitar jam 1.20 pagi.
"Pada masa ini, anggota masih menjalankan operasi pemadaman di tiga stor di bahagian belakang premis," katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.04 malam sebelum jentera pertama dari BBP Seri Kembangan tiba di lokasi sembilan minit kemudian.
"Alhamdulillah setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
"Operasi pemadaman turut berdepan kekangan apabila lima pili bomba di kawasan berhampiran tidak dapat digunakan kerana berada di bawah seliaan pihak swasta.
"Susulan itu, kita menggunakan sepenuhnya bekalan air daripada jentera dan lori tangki air bomba sepanjang kerja-kerja pemadaman dijalankan," katanya.


Beliau berkata, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan berikutan operasi pemadaman belum selesai sepenuhnya.
Dalam kejadian itu, api turut merebak ke beberapa premis berhampiran, namun berjaya dikawal daripada merebak ke bangunan utama yang menempatkan pasar jualan ikan, sayur-sayuran dan daging yang terletak kira-kira 50 meter dari premis yang terbakar.
Terdahulu, kebakaran itu dapat dilihat dari jarak hampir tiga kilometer berikutan api yang marak serta kepulan asap tebal menjulang tinggi di ruang udara.
























