SERDANG: Kebakaran besar melanda Pasar Borong Selangor di Seri Kembangan, di sini, malam ini, dengan api marak memusnahkan beberapa premis sebelum merebak pantas ke kawasan berhampiran.
Kejadian dipercayai bermula kira-kira jam 10.50 malam dari sebuah kedai menjual barangan logam di dalam kawasan pasar berkenaan sebelum merebak ke kedai kelengkapan seperti bantal dan tilam serta kedai lain.
Sehingga jam 12.10 tengah malam, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor masih bertungkus-lumus mengawal kebakaran bagi mengelakkan api merebak ke surau serta premis lain di kawasan pasar.
Keadaan menjadi lebih mencabar apabila tiupan angin menyebabkan api merebak dengan pantas, manakala beberapa letupan turut kedengaran, dipercayai berpunca daripada bahan logam dan plastik yang terbakar di dalam premis terbabit.
Tinjauan BH di lokasi mendapati sekurang-kurangnya lima jentera bomba bersama lebih 30 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi memadam kebakaran.

Orang ramai turut memenuhi kawasan sekitar bagi menyaksikan kebakaran itu, dengan cahaya api yang marak dilihat dari jarak hampir tiga kilometer.
Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum dapat dipastikan, manakala operasi pemadaman masih diteruskan.
Sementara itu Bernama melaporkan operasi pemadaman dilaporkan agak sukar berikutan terdapat sejumlah tong gas yang disimpan di dalam premis berkenaan, yang dikhuatiri boleh mencetuskan letupan.
























