BH Online
Ringkasan Berita

PRN NS: PPP tumpu 13 kawasan peratusan pengundi India tinggi

KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk (PPP) mengenal pasti 13 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai peratusan pengundi India yang tinggi sebagai kawasan tumpuan utama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
PRN NS: PPP tumpu 13 kawasan peratusan pengundi India tinggi

Majlis Perjumpaan Sambutan Hari Ibu dan Hari Bapa di Jempol anjuran PPP Bahagian Jempol

KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk (PPP) mengenal pasti 13 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mempunyai peratusan pengundi India yang tinggi sebagai kawasan tumpuan utama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Presidennya, Datuk Dr Loga Bala Mohan, berkata jentera pilihan raya PPP sudah digerakkan ke kawasan-kawasan itu sejurus selepas hari penamaan calon bagi mendekati pengundi dan meyakinkan mereka untuk memberikan sokongan kepada calon-calon Barisan Nasional (BN).

Katanya, kawasan itu ialah Jeram Padang 33.6 peratus, Sri Tanjung (28.1 peratus), Rantau (27.4 peratus) , Seremban Jaya (27.2 peratus), Lukut (26.2 peratus), Mambau (25.7 peratus), Rahang (22.6 peratus), Bukit Kepayang (22.2 peratus), Nilai (21.6 peratus), Lobak (21.5 peratus),Chuah (21.4 peratus) ,Linggi (16.8 peratus ) dan Repah (16.6 peratus).

"Kawasan-kawasan ini adalah kerusi yang menyaksikan komuniti India mampu memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan pilihan raya.

"Justeru, PPP komited memastikan setiap pengundi yang berpotensi untuk keluar dalam jumlah yang tinggi dan dapat didekati melalui gerak kerja kempen yang menyeluruh," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas DUN dibubarkan pada 5 Jun lepas selepas mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Loga yang juga Naib Pengerusi BN berkata, berdasarkan pemerhatian serta maklum balas yang diterima melalui pertemuan bersama akar umbi, ia menyaksikan perubahan sentimen yang jelas.

"Semakin ramai pengundi India kembali memberikan sokongan kepada BN kerana mereka yakin BN lebih berkeupayaan memenuhi aspirasi serta menangani isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat India.

"Banyak inisiatif yang diperkenalkan di bawah kepimpinan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak, khususnya melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia pada tahun 2017, tidak sempat disempurnakan selepas berlakunya pertukaran kerajaan.

"Ramai dalam kalangan masyarakat India merasakan pembaharuan dan kemajuan yang diharapkan tidak diteruskan sebagaimana yang telah dijanjikan.

"Hari ini, keyakinan semakin meningkat bahawa BN mampu sekali lagi menawarkan kepimpinan yang stabil serta melaksanakan pembaharuan yang memberi manfaat kepada masyarakat India dan seluruh rakyat," katanya.

Jelasnya lagi, sokongan luar biasa yang ditunjukkan oleh pengundi dalam PRN Johor baru-baru ini menjadi petunjuk jelas bahawa pengundi India semakin kembali menyokong BN.

"PPP yakin momentum positif ini akan berterusan di Negeri Sembilan dan juga dalam pilihan raya yang akan datang.

"Sebagai sebuah parti komponen BN, PPP akan terus komited memastikan aspirasi masyarakat India diterjemahkan kepada dasar-dasar yang konkrit serta tindakan yang berkesan.

"Mandat yang diberikan oleh rakyat akan dimanfaatkan untuk kepentingan semua kaum dan seluruh rakyat.

"Oleh itu, saya menggesa seluruh pengundi India di Negeri Sembilan supaya keluar beramai-ramai pada 1 Ogos, hari pengundian dan memberikan undi kepada calon-calon BN," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan