KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa segera mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi menoktahkan spekulasi berhubung penstrukturan semula agensi itu, sebelum ini.
Gesaan Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, itu antara lain bertujuan membuktikan kredibiliti beliau yang dulunya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dalam menerajui usaha penstrukturan berkenaan.
Bekas Ahli Parlimen Parit Buntar itu juga akan mendedahkan dalang keruntuhan TH yang membawa kepada dakwaan penjualan asetnya kepada bukan Islam, sebelum ini.
Malah, katanya, fitnah berkaitan TH masih digunakan dalam kempen pilihan raya, termasuk pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.
"Saya beberapa kali tanya bila laporan RCI TH akan didedahkan kepada awam sejak 2023, dan menteri bertanggungjawab dalam Kerajaan Perpaduan beri jawapan ia masih di bawah OSA (Akta Rahsia Rasmi 1972).
"Saya menuntut pendedahan RCI ini bagi mengelakkannya menjadi tujuan politik, memandangkan isu berkenaan berlegar sekitar memutarkan-belitkan isu pemulihan TH dari 2018 hingga 2020.
"Reputasi saya dipertaruhkan melalui edaran fitnah di media sosial sebagai orang bertanggungjawab 'jual aset TH kepada bukan Islam, menteri merosakkan TH dan pelbagai tohmahan'.
"Ini di sebalik siri kemenangan saya di mahkamah (berkaitan kes TH) dan tulisan disiarkan dalam media sosial mahupun portal berita perdana," katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH bagi membolehkan rakyat meneliti dakwaan penjualan aset strategik agensi itu, sebelum ini.
Justeru, Ahli Parlimen Tambun itu akan merujuk Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, sama ada sedia mendedahkan laporan berkenaan hari ini atau selepas mesyuarat Kabinet Rabu depan.
Mujahid mendakwa, inisiatif pemulihan PH itu turut dijadikan kesempatan parti politik tertentu, terutama PAS dan UMNO sebagai pembangkang ketika penstrukturan dilakukan sebelum ini.
Katanya, serangan terhadapnya ketika itu dibuat menggunakan tema aset TH dijual oleh beliau dan bekas Menteri Kewangan merangkap Penasihat DAP, Lim Guan Eng.
Beliau mengakui bertanggungjawab bagi semua kenyataan kepada panel RCI, selain semua dokumen dikemukakan diperakui sebagai jawapan kepada persoalan dikemukan berhubung isu itu.
"Tibalah masa kebenaran didedahkan mengenai dalang keruntuhan TH serta pihak berusaha menyelamatkannya. Saya tidak sabar melihat laporan supaya rakyat mendapat pendedahan mengenai situasi sebenar TH dari 2014 hingga 2020.
"Hanya Allah tempat saya mengadu supaya fakta akan menjadi penilaian terhadap usaha PH (Pakatan Harapan) sebelum ini, memenuhi janji membela institusi terbesar umat Islam," kata Ahli Dewan Negara itu.
























