KUALA LUMPUR: Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) meneliti persoalan kemungkinan proses pemberian tender kepada Integriti Padu Sdn Bhd kurang telus kerana tidak melihat hubungan kekeluargaan membabitkan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Badan antirasuah itu mempersoalkan kemungkinan hubungan kekeluargaan itu tidak didedahkan secukupnya kepada lembaga perolehan Kementerian Pengangkutan sebelum syarikat berkenaan dianugerahkan kontrak selama enam tahun bagi membangun serta mengendalikan sistem 'Road Charge' dan 'Vehicle Entry Permit' (RC/VEP).
Sekiranya proses itu tidak berlaku, C4 berkata, situasi berkenaan menunjukkan proses tender kerajaan tidak cukup kukuh untuk melindungi sistem daripada risiko rasuah.
"Ketiadaan pendedahan rasmi menyebabkan maklumat penting (dipercayai) tidak sampai kepada lembaga perolehan, sekali gus menghalang mereka membuat keputusan yang benar-benar berasaskan maklumat lengkap. Maklumat sedemikian berpotensi memberi kesan besar terhadap keputusan penganugerahan kontrak.
"Jika jawapannya ialah ya (maklumat didedahkan secukupnya), maka timbul persoalan bagaimana kontrak itu masih dianugerahkan meskipun maklumat berkenaan diketahui.
"Ia turut menimbulkan persoalan sama ada lembaga perolehan benar-benar berpuas hati bahawa usaha wajar (due diligence) dijalankan bagi meminimumkan risiko rasuah.
"Orang ramai juga berhak mengetahui bagaimana keputusan itu dibuat, khususnya apabila penganugerahan tender sedemikian sememangnya mengundang penelitian awam sebagaimana yang sedang berlaku," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, satu laporan The Edge Malaysia mendakwa Integriti Padu memperoleh kontrak selama enam tahun bagi membangun serta mengendalikan sistem RC/VEP di sempadan Malaysia-Singapura.
Dilaporkan bahawa adik Azam, Datuk Nasir Baki adalah Pengerusi Eksekutif merangkap pemegang saham syarikat berkenaan.
Mengulas lanjut, C4 menyifatkan respons Azam serta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berhubung isu berkenaan sebagai mengejutkan dan dilihat boleh mencerminkan salah faham terhadap isu tadbir urus.
"Kenyataan tersirat Azam (yang dilaporkan media) mengenai ahli keluarga penjawat awam (didakwa) diperlakukan secara tidak adil apabila menjalankan perniagaan, dilihat tidak menggambarkan kebimbangan sebenar masyarakat.
"Penjawat awam, khususnya mereka yang memegang jawatan tinggi, sememangnya perlu tertakluk kepada tahap penelitian yang lebih tinggi kerana wujud risiko kedudukan mereka disalahgunakan untuk memberi manfaat kepada diri sendiri atau ahli keluarga.
"Kenyataan Loke pula menimbulkan persoalan lanjut. Kenyataannya bahawa beliau tidak mengetahui hubungan kekeluargaan berkaitan syarikat yang menyertai tender, menimbulkan persoalan sama ada ignorance itu meluas kepada ahli lembaga perolehan sendiri," katanya.
C4 turut membangkitkan mengenai Akta Perolehan Kerajaan 2025 yang dilihat tidak memadai untuk memastikan risiko rasuah dalam proses perolehan kerajaan dapat diminimumkan dan dicegah secara berkesan.
"C4 sejak sekian lama berpendirian bahawa amalan perolehan kerajaan di Malaysia memerlukan reformasi menyeluruh, bukan saja terhadap prosesnya tetapi juga bagi menangani pengaruh golongan elit serta berkepentingan yang semakin mengaburkan sempadan antara perniagaan dan politik," katanya.
























