BH Online
Ringkasan Berita

'Militan kini guna media sosial, permainan dalam talian rekrut ahli'

KUALA LUMPUR: Ancaman kumpulan militan dan ekstremisme tidak pernah berakhir atau lenyap, sebaliknya ancaman ini terus berevolusi mengikut peredaran zaman serta perkembangan teknologi.
'Militan kini guna media sosial, permainan dalam talian rekrut ahli'

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay pada majlis pelancaran Buku Biografi Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay di Kuala Lumpur Golf & Country Club. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

KUALA LUMPUR: Ancaman kumpulan militan dan ekstremisme tidak pernah berakhir atau lenyap, sebaliknya ancaman ini terus berevolusi mengikut peredaran zaman serta perkembangan teknologi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kumpulan militan atau pengganas kini menggunakan pelbagai pendekatan dalam menyemai budaya keganasan dalam pemikiran dan psikologi terutama melalui media sosial serta permainan dalam talian yang berbentuk peperangan dan serangan.

Beliau berkata kaedah perekrutan kumpulan militan kini jauh berbeza berbanding sebelum ini yang banyak bergantung kepada pertemuan fizikal.

"Proses itu kini dikesan beralih sepenuhnya ke platform dalam talian seperti perbualan media sosial serta menerusi permainan video seperti Roblox.

"Trend semasa turut menunjukkan sebahagian pelaku tidak lagi didorong sepenuhnya oleh perjuangan jihad, fahaman agama atau ideologi, sebaliknya bertindak akibat dipengaruhi emosi seperti kemarahan yang akhirnya mencetuskan serangan," katanya pada sidang media selepas merasmikan buku biografinya bertajuk 'Dari Pendang ke Bukit Aman, Jejak Integriti', di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, individu yang mudah dipengaruhi emosi akan bertindak di luar batasan pemikiran sehingga mencetuskan serangan keganasan.

Beliau berkata, perubahan modus operandi itu menuntut Polis Diraja Malaysia menerusi Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman sentiasa selangkah di hadapan dalam usaha mengesan serta menggagalkan ancaman sebelum ia menjadi kenyataan.

"Kalau kita pasif dan hanya bertindak secara reaktif, serangan boleh berlaku di Malaysia. Sebab itu Cawangan Khas, khususnya E8 serta bahagian berkaitan, kita tidak boleh leka.

"Jika serangan berjaya berlaku, ia menunjukkan berlakunya kegagalan risikan. Tugas Cawangan Khas ialah mengesan, menyekat dan membanteras ancaman sebelum sebarang serangan dilancarkan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan