REMBAU: Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 yang bakal dilancarkan malam esok, akan memberi fokus terhadap usaha meneruskan agenda pembangunan tergendala selepas gabungan itu tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata manifesto berkenaan akan memperkemas asas sedia ada demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri itu.
"Sebenarnya manifesto ini akan menyambung kerja kita yang tergendala selepas kita tewas pada 2018.
"Asasnya sudah ada, cuma kita nak perkemaskan lagi dan menyambung apa yang tergendala," katanya.
Beliau yang juga calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri program Santai Bersama Tok Mat Hasan di Pedas di sini, hari ini.
Mohamad turut menafikan dakwaan Manifesto BN bagi PRN itu adalah 'salinan' manifesto gabungan itu pada PRN Sabah baru-baru ini.
"Dakwaan yang tular bahawa kita menciplak daripada Sabah itu tidak betul dan kita tidak pernah buat begitu. Itu perang psikologi mereka sahaja," katanya.
Beliau yang juga Menteri Luar, menegaskan BN belum memutuskan mengenai 'poster boy' atau calon yang akan menerajui pentadbiran negeri jika BN berjaya membentuk kerajaan.
Katanya, keutamaan BN ketika ini adalah memastikan kemenangan, dengan seluruh jentera kini bekerja keras untuk merealisasikan matlamat itu.
"Biarlah kita kempen elok-elok dan selepas itu, saya yakin parti akan dapat memilih atau membuat keputusan siapa yang boleh kita wakilkan untuk menjadi 'poster boy' atau untuk mentadbir jika BN menang.
"Apa yang penting, jangan kita terlampau sangat cakap pasal 'poster boy' tetapi kita tak buat kerja, tak jalankan kempen dengan baik," katanya.
Berhubung cadangan Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, supaya persefahaman antara BN dan Perikatan Nasional (PN) padaPRN kali ini dikenali sebagai Perikatan Barisan Nasional, Mohamad, berkata itu hanya cadangan Hamzah.
Beliau menegaskan, BN ketika ini tidak berhasrat membentuk gabungan baharu dengan mana-mana parti, termasuk PN.
"Persefahaman yang dibentuk antara kedua-dua gabungan itu pada PRN ini bertujuan
memastikan tidak berlaku perpecahan undi dalam kalangan orang Melayu.
"Beliau nak cakap apa-apa, cakaplah. Kita tak ada apa-apa. Kita bukan nak buat satu gabungan. BN tidak ada hasrat untuk melakukan satu gabungan lain.
"Gabungan kita BN. Kita mengharungi pilihan raya ini,menjalankan persefahaman. Kita tidak ada kolaborasi apa-apa, jadi, dia parti dia, kita parti kita.
"Jadi, jangan risaulah kerana setakat ini, selaku Timbalan Presiden UMNO, tidak ada rasa atau jangkaan kolaborasi baharu yang akan dilakukan BN," katanya.
























