KUALA LUMPUR: Beberapa dokumen termasuk laporan 'due diligence', minit mesyuarat berkaitan eFishery dan laporan kewangan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) sedang diteliti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan kehilangan dana pelaburan berjumlah RM163 juta.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim, berkata tindakan ketika ini adalah mengkaji keterangan individu dan meneliti dokumen yang sudah diperoleh pegawai penyiasat.
Beliau berkata, SPRM juga akan melaksanakan jejak aliran kewangan (cash transaction report (CTR) dan suspicious transaction report (STR)) dalam siasatan berkenaan.
"SPRM menubuhkan satu pasukan khas siasatan isu KWAP. Pasukan siasatan yang diketuai oleh Pengarah Kanan Bahagian Siasatan dan dianggotai oleh pegawai-pegawai kanan dari Bahagian Siasatan, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan serta Bahagian Penyiasatan Tatakelola.
"Tindakan siasatan secara rasmi dimulakan pada Jumaat lalu dan pada Isnin, pasukan pegawai penyiasat sudah memasuki premis KWAP bagi memulakan proses siasatan.
"Dokumen-dokumen yang perlu diberikan penelitian adalah Kertas Cadangan Awal, Kertas Cadangan Akhir, Laporan Site Visit, Minit-Minit Mesyuarat berkaitan eFishery, Laporan Due Diligence, Dokumen Tatacara Pelaburan dan Dokumen Kewangan KWAP," katanya dalam satu kenyataan video, di sini hari ini.
Dalam sidang Dewan Negara, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perlunya siasatan lanjut dilakukan khususnya bagi meneliti prosedur kelulusan berkait isu kerugian dana pelaburan KWAP dalam syarikat eFishery.
Justeru, Perdana Menteri berkata, kerajaan menyokong sepenuhnya tindakan SPRM yang sudah memulakan siasatan terhadap kes penipuan terancang itu.
Beliau berkata, SPRM harus melihat proses pelaburan serta keputusan yang dibuat oleh panel pelaburan dan akhirnya yang dipersetujui oleh Lembaga KWAP.
Mengulas lanjut, Abd Halim juga mengesahkan, pelaburan KWAP adalah terhadap sejenis alat pemberi makan ikan dan udang pintar yang dikenali sebagai Smart Feeder keluaran eFishery Pte Ltd.
Beliau berkata fokus siasatan SPRM adalah menyeluruh, merangkumi penyiasatan berhubung kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.
"Selain itu, SPRM juga memberikan fokus terhadap isu tatakelola yang merangkumi aspek prosedur kewangan, perundangan dan proses membuat keputusan dalam isu pelaburan KWAP dalam eFishery."
























