PUTRAJAYA: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyindir Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar yang melihat pemimpin itu seolah-olah berhasrat menjadi menteri susulan gesaannya supaya wakil BN dalam kerajaan meletakkan jawatan.
Zambry berkata, jika benar Mahfuz berhasrat menyertai Jemaah Menteri, perkara itu sepatutnya disuarakan terus kepada Perdana Menteri kerana keputusan mengenai pelantikan menteri adalah di bawah bidang kuasa beliau.
"Dia nak jadi menteri rasanya. Tak apalah, kalau dia nak jadi menteri, dia serah kepada Perdana Menteri. Dia pergi cakap dengan Perdana Menteri.
"Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Perdana Menteri) sudah buat kenyataan, Perdana Menteri pun sudah buat kenyataan. Jadi, yang dia memandai-mandai, mungkin dia nak jadi menteri kot.
"Saya rasa mungkin dia nak jadi menteri. Suruh dia beritahu dengan Perdana Menteri," katanya ketika ditemui selepas menghadiri syarahan umum oleh ahli akademik dari Universiti Colombia, Prof Joseph A Massad bertajuk 'Identiti Muslim Dalam Dunia Global' di sini, hari ini.
Terdahulu, Mahfuz dalam kenyataannya berkata, cabaran Ahmad Zahid supaya Perdana Menteri memecat menteri dan timbalan menteri BN bukan lambang keberanian, sebaliknya menunjukkan keengganan mengambil tanggungjawab terhadap keputusan politik sendiri.
Beliau mempersoalkan mengapa BN tidak berani berundur daripada jawatan dan memilih bekerjasama dengan pihak yang menentang Kerajaan Perpaduan.
Mengulas kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, Zambry berkata, BN akan terus memberi tumpuan kepada kempen secara berhemah tanpa mencetuskan permusuhan dengan mana-mana pihak.
"Bagi kita, pilihan raya di Negeri Sembilan adalah pilihan raya yang sudah diputuskan dan kita meneruskan kempen dengan baik.
"Tidak ada isu untuk kita memboikot atau bergaduh dengan sesiapa. Kita bertanding dalam pilihan raya negeri dalam keadaan yang baik dan berhemah kerana kita tidak mahu mewujudkan permusuhan dengan mana-mana pihak," katanya.
























