PUTRAJAYA: Ahli akademik Universiti Columbia, Prof Joseph A Massad memuji pendirian Malaysia yang enggan tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat (AS) untuk menormalisasikan hubungan diplomatik dengan Israel, sambil menyifatkan langkah itu sebagai pendirian yang konsisten menentang genosid.
Beliau mendakwa, AS sebagai penyokong utama Israel memberikan tekanan kepada negara majoriti Islam dan negara Arab supaya menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel.
"Saya ingin menyebut bahawa terdapat tekanan yang sangat besar daripada Amerika Syarikat, sebagai penyokong utama negara Israel yang melakukan genosid, untuk memaksa dan mendesak negara majoriti Islam serta negara Arab menormalkan hubungan dengan Israel sebagai ganjaran terhadap genosid itu.
"Oleh itu, saya ingin menyatakan bahawa saya memuji Malaysia serta ahli-ahli politik dan kerajaan Malaysia kerana enggan akur kepada desakan sedemikian," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan syarahan umum bertajuk 'Identiti Muslim Dalam Dunia Global' di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau mengulas mengenai tindakan lapan Ahli Kongres AS menghantar surat kepada Setiausaha Negara, Marco Rubio, bagi menyuarakan tidak berpuas hati terhadap tindakan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengusir segera rakyat Israel yang berada di Malaysia.
Mereka adalah Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss daripada parti Demokrat.
Berdasarkan surat dimuat naik Landsman dalam akaun Facebooknya, Ahli Kongres terbabit menyuarakan kebimbangan amat serius terhadap kenyataan Anwar.
Sehubungan itu, mereka mendesak Kerajaan AS mengambil tindakan tegas kerana kenyataan Anwar didakwa cenderung bersifat antisemitisme.
Mengulas lanjut, Massad menegaskan kritikan terhadap Israel tidak boleh disamakan dengan anti-Semitisme kerana, Israel tidak mewakili keseluruhan masyarakat Yahudi di dunia.
Beliau mendakwa, majoriti orang Yahudi tidak tinggal di Israel dan tidak pernah memilih negara itu untuk bercakap bagi pihak mereka.
Katanya, pendirian untuk tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel adalah penolakan terhadap genosid dan bukannya tindakan memusuhi orang Yahudi.
























