BH Online
Ringkasan Berita

SPRM cari saksi luar negara kes pelaburan KWAP

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya akan melakukan kerjasama antarabangsa untuk mendapatkan saksi yang terbabit dalam pelaburan bernilai RM163 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).
SPRM cari saksi luar negara kes pelaburan KWAP

Ibu Pejabat Kumpulan Wang Persaraan (KWAP). Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan pihaknya akan melakukan kerjasama antarabangsa untuk mendapatkan saksi yang terbabit dalam pelaburan bernilai RM163 juta oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Ketua Pesuruhjaya, Datuk Seri Abd Halim Aman, berkata ketika ini pihaknya sudah mengenal pasti individu berkenaan untuk membantu siasatan yang dijalankan SPRM.

Beliau berkata, SPRM akan mengemukakan permohonan Mutual Legal Assistance in Criminal Matters (MACMA) untuk mengesan individu di luar negara yang terbabit dalam pelaburan syarikat eFishery di Indonesia.

"Beberapa pihak di luar negara juga telah dikenal pasti untuk membantu siasatan. Justeru itu, SPRM akan mengemukakan permohonan MACMA melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) kepada pihak berkuasa luar negara bagi membantu mendapatkan keterangan daripada saksi-saksi yang terbabit," katanya dalam kenyataan secara video, di sini hari ini.

Abd Halim berkata, beliau turut mengarahkan Bahagian Siasatan SPRM untuk melaksanakan siasatan secara terperinci dari segala aspek.

"Siasatan juga akan dilaksanakan dengan telus dan adil serta secara menyeluruh. Akan dipastikan di dalam proses penyiasatan itu, 'will leave no stone unturned in their search for evidence' (siasatan secara menyeluruh bagi mencari bukti).

"SPRM memohon kerjasama daripada semua pihak untuk memberikan ruang dan masa bagi kami menjalankan siasatan secara menyeluruh," katanya.

Sebelum ini, dalam sidang Dewan Negara, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan perlunya siasatan lanjut dilakukan khususnya bagi meneliti prosedur kelulusan berkait isu kerugian dana pelaburan KWAP dalam syarikat eFishery.

Beliau dilaporkan berkata, kerajaan menyokong sepenuhnya tindakan SPRM yang sudah memulakan siasatan terhadap kes penipuan terancang itu.

Katanya, SPRM harus melihat proses pelaburan serta keputusan yang dibuat oleh panel pelaburan dan akhirnya yang dipersetujui oleh Lembaga KWAP.

Video Terkini

Berita Berkaitan