BH Online
Ringkasan Berita

RM40.5 juta atasi banjir kilat di 12 lokasi di Petaling Jaya

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan RM40.5 juta bagi melaksanakan 39 skop kerja di 12 lokasi berisiko banjir yang dikenal pasti di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
RM40.5 juta atasi banjir kilat di 12 lokasi di Petaling Jaya

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim, pada sidang media projek pelan mitigasi banjir di Petaling Jaya, hari ini. Foto Faiz Anuar/NSTP

SHAH ALAM: Kerajaan negeri Selangor memperuntukkan RM40.5 juta bagi melaksanakan 39 skop kerja di 12 lokasi berisiko banjir yang dikenal pasti di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Izham Hashim, berkata daripada 12 kawasan itu, tiga lokasi kritikal diberi tumpuan utama, iaitu di Seksyen 51A (Jalan 223), Kampung Cempaka dan Jalan PJU 1A (Terowong FAS).

Beliau berkata, pelaksanaan Projek Pelan Mitigasi Banjir Langkah Segera dan Langkah Sederhana di lokasi dikenal pasti itu langkah proaktif bertujuan menangani banjir kilat yang semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim, pembangunan pesat dan taburan hujan berintensiti tinggi.

"Skop kerja ini meliputi menaik taraf dan meningkatkan kapasiti sungai, pembinaan struktur outlet, penyelenggaraan sistem saliran, sungai dan kolam takungan banjir, juga pemasangan sistem siren amaran banjir di beberapa lokasi kritikal yang dikenal pasti di kawasan pentadbiran Petaling Jaya seperti di Seksyen 51A, Kampung Cempaka dan Jalan Kuala Selangor, FT54.

"Bagi langkah segera, sebanyak 26 bilangan kerja dengan kos RM20,163, manakala bagi langkah sederhana, sebanyak 13 bilangan kerja dengan RM20,400," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Izham berkata, projek tebatan banjir mengambil masa kerana memerlukan proses reka bentuk, pengambilan tanah, selain penyelarasan utiliti sebelum kerja fizikal dapat dimulakan.

"Kita tidak boleh anggap hari ini mesyuarat dan lulus, esok terus boleh buat. Projek tebatan banjir bukan macam masak mi segera sebab ia memerlukan kajian dan reka bentuk sebelum dilaksanakan," tegasnya.

Beliau berkata, pada ketika ini terdapat lebih 200 projek tebatan banjir sedang dilaksanakan di seluruh Selangor membabitkan peruntukan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan nilai keseluruhan kira-kira RM5 bilion.

"Kerajaan negeri optimis pendekatan ini mampu mengurangkan impak banjir kilat terutama di kawasan bandar yang semakin berdepan cabaran akibat pembangunan pesat dan perubahan iklim," katanya.

Pada 18 Julai lalu, media melaporkan hujan lebat menyebabkan Medan Selera 223 di Seksyen 51A dan beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya, dilanda banjir kilat berulang selepas kejadian sama berlaku pada 20 April dan 6 Mei lalu.

Video Terkini

Berita Berkaitan