JOHOR BAHRU : Dakwaan bahawa pelantikan 10 Timbalan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor hanya akan membazirkan wang rakyat dan menambah beban kewangan kerajaan perlu dinilai secara objektif berdasarkan fakta serta manfaat bakal diperoleh rakyat, bukannya berlandaskan persepsi politik semata-mata.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah, berkata pelantikan itu langkah strategik bagi memperkukuhkan keupayaan pentadbiran kerajaan negeri berdepan cabaran pembangunan yang semakin kompleks serta memastikan agenda Maju Johor 2030 dapat dilaksanakan lebih berkesan.
Beliau berkata, perbincangan mengenai pelantikan Timbalan EXCO tidak seharusnya tertumpu kepada kos semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira nilai tambah yang mampu diberi kepada sistem penyampaian kerajaan dan kesejahteraan rakyat.
"Kelewatan membuat keputusan, pemantauan projek yang tidak menyeluruh dan penyampaian perkhidmatan kurang cekap boleh menyebabkan kerugian jauh lebih besar berbanding kos untuk memperkukuhkan pentadbiran.
"Jika pelantikan ini mampu mempercepat penyelesaian isu rakyat, meningkatkan pemantauan projek pembangunan dan memperkemaskan pelaksanaan dasar kerajaan, maka manfaat diterima rakyat jauh lebih besar daripada kos yang terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Parti pembangkang sebelum ini mempersoalkan pelantikan 10 Timbalan EXCO yang diumumkan kerajaan negeri dengan mendakwa langkah itu berpotensi menambah beban kewangan kerajaan dan pembaziran wang rakyat.
Mohd Hairi berkata, pelantikan 10 Timbalan EXCO bukan bagi menambah birokrasi atau mewujudkan jawatan baharu semata-mata, sebaliknya bagi membantu EXCO sedia ada yang kini memikul tanggungjawab semakin besar selari dengan kepesatan pembangunan Johor.
Beliau berkata, Johor yang berkeluasan hampir 19,200 kilometer persegi meliputi 10 daerah dan dihuni lebih empat juta penduduk memerlukan kapasiti pentadbiran lebih kukuh bagi memastikan setiap dasar, inisiatif dan projek pembangunan dapat dilaksanakan secara berkesan hingga ke peringkat akar umbi.
Katanya, selain menggubal dasar dan menghadiri Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri, EXCO juga perlu turun padang bagi memantau pelaksanaan projek, menyelesaikan isu rakyat, menyelaras pelbagai jabatan dan agensi serta menghadiri pelbagai program rasmi di seluruh negeri.
"Dengan adanya Timbalan EXCO, tanggungjawab ini dapat diagihkan lebih tersusun tanpa menjejaskan kecekapan pentadbiran, sekali gus membolehkan lebih banyak isu rakyat diberi perhatian dalam tempoh lebih singkat," katanya.
Mohd Hairi berkata, pendekatan itu bukan sesuatu yang baharu kerana beberapa negeri lain seperti Sabah, Sarawak dan Melaka sudah mengamalkan model pentadbiran hampir sama bagi membantu memperkukuhkan pelaksanaan dasar kerajaan.
Beliau berkata, kewujudan Timbalan EXCO dijangka membolehkan lebih banyak program turun padang dilaksanakan serentak, pemantauan projek dilakukan lebih kerap dan penyelarasan antara kerajaan negeri, jabatan serta agensi berkaitan dipertingkatkan.
Katanya, pelantikan itu juga selari dengan aspirasi Agenda Maju Johor yang menuntut sebuah pentadbiran responsif, cekap, pantas dan sentiasa dekat dengan rakyat.
"Sebuah kerajaan yang cekap bukan diukur berdasarkan jumlah jawatan diwujudkan, tetapi melalui keupayaannya menyampaikan perkhidmatan secara pantas, telus dan berkesan.
"Rakyat hari ini menilai kerajaan berdasarkan keberkesanan pentadbiran, keupayaan menyelesaikan masalah dan hasil pembangunan yang dapat dirasai secara langsung," katanya.






















