SEREMBAN: "Terima kasih banyak, terima kasih semua orang," itu yang mampu diluahkan pesara kerajaan paling tua di Negeri Sembilan, Ong Siew Choon yang berusia 102 tahun.
Ucapan penghargaan itu dilafazkan Siew Choon yang mengalami masalah pertuturan, pendengaran dan penglihatan ketika menerima kunjungan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, hari ini.
Untuk rekod, Siew Choon berkhidmat sebagai pekerja rendah am atau tukang sapu sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) dari 1965 dan bersara pada 1979.
Anaknya, Yeoh Kin Yeok, 75, berkata ibunya secara keseluruhannya masih sihat, namun seiring dengan usianya, wanita warga emas itu mengalami masalah pendengaran, penglihatan dan pertuturan tidak jelas, selain menghidap dementia.
"Bapa bekerja sebagai kerani kilang pada waktu itu, namun disebabkan usianya yang sudah tua, dia sakit dan tidak mampu bekerja sebelum meninggal dunia pada 1972.
"Jadi, ibu yang banyak bekerja menyara keluarga dan membesarkan kami semua. Pada mulanya dia bekerja sebagai orang gaji sebelum menjadi tukang sapu di sekolah pada usia 41 tahun," katanya di kediamannya, di sini.
Beliau yang juga anak ketiga daripada enam beradik itu, berkata antara rahsia ibunya panjang umur adalah kerana wanita itu mengamalkan pemakanan berasaskan sayuran, selain suka berkebun pada waktu pagi.
"Saya rasa cara pemakanannya memainkan peranan utama, tetapi sejak akhir-akhir ini kami anak-anaknya akan curi-curi bagi dia makan protein untuk memberinya tenaga.
"Selain itu, dia suka menanam bunga sehingga lima tahun lalu, kami tidak membenarkannya berkebun lagi kerana risau dia terjatuh. Jika tidak, setiap pagi dari jam 7.30 pagi hingga jam 10 pagi, dia uruskan pokok bunganya," katanya.
Menjelaskan perasaannya ketika menerima kunjungan Wan Ahmad Dahlan, Kin Yeok yang juga pesara guru berkata, dia tidak menjangka perkara itu dan rasa sangat dihargai.
Siew Choon pula sepanjang lawatan itu tidak jemu mengungkapkan ucapan terima kasih kepada semua orang, sekali gus menyentuh perasaan mereka yang hadir.
Sementara itu, Wan Ahmad Dahlan berkata, Program Ziarah Pesara itu menyantuni tujuh pesara kerajaan di sekitar Seremban bersama rakan strategik Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) iaitu Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Negeri Sembilan.
Beliau berkata, program itu mencerminkan komitmen berterusan JPA dalam menghargai jasa dan pengorbanan warga perkhidmatan awam yang menyumbang kepada pembangunan negara, selain memastikan kebajikan mereka terus diberi perhatian selepas persaraan.
Pada ziarah itu juga, Wan Ahmad Dahlan menyerahkan kad pesara baharu kepada wanita itu selain menyampaikan sumbangan barang keperluan dan sumbangan daripada Perdana Menteri.
Jelas beliau, meskipun terdapat pesara kerajaan yang sudah bersara dalam tempoh yang lama, namun pihaknya menerusi rakan strategik, KWAP masih mempunyai data dan boleh mengesan mereka.
"Semua data ada dengan kami, cuma sedikit mencabar apabila kami tidak mempunyai masa dan ruang untuk turun. Justeru itu, setiap kali keluar kawasan, saya atau pegawai JPA cuba meluangkan masa menyantuni mereka.
"Sekurang-kurangnya bertanya khabar, membantu sedikit sebanyak apa yang diperlukan terutama membabitkan isu kesihatan dan kami cuba bantu dari segi peralatan, "katanya.
























