BH Online
Ringkasan Berita

Politik eksklusif kelompok tertentu tidak cerminkan negara majmuk

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) menyifatkan naratif yang menggambarkan hanya satu kelompok mewakili masyarakat Melayu-Islam sebagai tidak mencerminkan realiti masyarakat majmuk negara.
Politik eksklusif kelompok tertentu tidak cerminkan negara majmuk

(Dari, kiri) Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Fahmi Fadzil, Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abdul Samad dan Setiausaha DAP Negeri Sembilan Cha Kee Chin ketika Sidang Media Khas PH sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, hari ini. - Foto BERNAMA

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) menyifatkan naratif yang menggambarkan hanya satu kelompok mewakili masyarakat Melayu-Islam sebagai tidak mencerminkan realiti masyarakat majmuk negara.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ini, naratif menggambarkan seolah-olah hanya satu kelompok memonopoli identiti Melayu-Islam adalah tidak tepat kerana terdapat ramai pemimpin Melayu-Islam dalam PH.

"Baru-baru ini ada beberapa pimpinan yang memberi satu gambaran seolah-olah hanya satu kelompok sahaja yang boleh memonopoli Melayu-Islam. Habis tu Khalid Samad (Datuk Seri Khalid Abdul Samad) bukan Melayu-Islam? Saya bukan Melayu-Islam?

"Jadi politik agak eksklusif seperti itu tidak mencerminkan kemajmukan dan kepelbagaian dalam negara dan ia hanya menimbulkan bibit-bibit tidak begitu baik," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hadir sama Khalid sebagai Pengarah Komunikasi Amanah dan Setiausaha DAP Negeri Sembilan Cha Kee Chin.

Fahmi merangkap Ketua Penerangan Keadilan berkata PH akan terus menjelaskan bahawa masyarakat Melayu-Islam tidak dipinggirkan dalam pentadbiran parti itu.

"Bagi Pakatan Harapan, semestinya kita memandang serius dan akan berusaha dengan lebih keras untuk menyantuni serta memahamkan para pengundi bahawa dalam Pakatan Harapan juga, golongan Melayu-Islam tidak dipinggirkan," katanya.

Menteri Komunikasi itu berkata pencapaian pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun membuktikan dakwaan tersebut tidak berasas.

Beliau berkata jumlah masjid yang dibina di negeri itu meningkat berbanding pentadbiran terdahulu, manakala kutipan zakat turut mencatatkan peningkatan hampir dua setengah kali ganda.

"Ini membuktikan pentadbiran Pakatan Harapan dan seterusnya Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan tidak meminggirkan kepentingan Melayu-Islam," katanya.

Sementara itu, Khalid mempersoalkan naratif 'Perpaduan Ummah' dibawa Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN Negeri Sembilan, dengan mempersoal asas penyatuan tersebut sama ada benar-benar berlandaskan kebaikan dan ketakwaan atau sekadar didorong kepentingan politik.

Beliau berkata PH sebaliknya memperjuangkan perpaduan yang berasaskan nilai kebaikan, kepentingan bersama dan melibatkan seluruh rakyat tanpa mengira kaum.

"Kami mahu Melayu bersatu, Cina bersatu, India bersatu dan seluruh rakyat Malaysia bersatu, bukan atas dasar asabiah tetapi atas dasar memperjuangkan kebaikan dan ketakwaan," katanya.

Pengundian bagi PRN Negeri Sembilan ditetapkan pada1 Ogos manakala undi awal 28 Julai. – BERNAMA

Video Terkini

Berita Berkaitan