BH Online
Ringkasan Berita

'Saya ni orang sini, orang Juasseh' - Mohd Aidil yakin tawan DUN Juasseh

KUALA PILAH: Menyedari lawan ditentang berada dalam kelas tersendiri dari segi pengalaman, calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR, Mohd Aidil Abdullah, mahu tampil sebagai `underdog’ dalam saingan tiga penjuru kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh.
'Saya ni orang sini, orang Juasseh' - Mohd Aidil yakin tawan DUN Juasseh

Calon PH DUN Juaseh, Mohd Aidil Abdullah (dua dari kiri) beramah mesra bersama pengundi ketika berkempen sempena PRN Negeri Sembilan, di Taman Jemapoh Indah, Juaseh, hari ini. Foto Mohamad Shahril Badri Saali/NSTP

KUALA PILAH: Menyedari lawan ditentang berada dalam kelas tersendiri dari segi pengalaman, calon Pakatan Harapan (PH) daripada PKR, Mohd Aidil Abdullah, mahu tampil sebagai `underdog' dalam saingan tiga penjuru kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh.

Memasuki gelanggang sulung sebagai calon dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, beliau mengakui lawannya iaitu Datuk Ismail Lasim (BN) dan Mohd Zuhaimi Md Yusof (BERSATU) memiliki segala kelebihan diperlukan berbanding dirinya.

Bagaimanapun, Mohd Aidil, 52, yang juga seorang kontraktor, berkeyakinan untuk mencipta kejutan pada 1 Ogos ini.

Berkhidmat sebagai penyelaras DUN Juasseh selama tiga tahun bermula 2020 sehingga 2023 memberinya peluang mendampingi masyarakat sepanjang masa.

"Saya ni orang sini, orang Juasseh. Saya sentiasa ada untuk mendengar denyut nadi semua lapisan khususnya anak muda dan saya rasa itu kelebihan buat saya.

"Perlu ada pimpinan yang mendengar keluhan, pandangan atau permintaan anak muda supaya mereka berasa kita ada sepanjang masa.

"Ada pesaing saya yang tinggal di Kuala Lumpur. Saya rasa penduduk sini kena pilih orang sini," katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Pada PRN Negeri Sembilan 2023 lalu, calon BN bagi kerusi DUN Juasseh, Datin Seri Bibi Sharliza Mohd Khalid memang tipis selepas menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Allahyarham Datuk Eddin Syazlee Shith, dengan majoriti 78 undi.

Isteri bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Isa Samad, itu meraih 4,549 undi, manakala Eddin mendapat 4,471 undi.

Mengulas lanjut, Mohd Aidil berkata, pengundi semakin bijak menilai dan sentiasa mengikuti perkembangan semasa, termasuk dalam menilai prestasi kerajaan.

"Mereka mengikut peranan kerajaan negeri dan Persekutuan. Orang Juasseh ini melihat kepada itu bersekali, bukan sahaja calon. Mereka memandang dan berfikiran jauh ke depan.

"Di sini ada dua kumpulan iaitu sebelah selatan berhampiran dengan bandar, manakala sebelah utara jauh sedikit di pedalaman. Cara fikiran dan kemahuan mereka berbeza.

"Kadangkala kita mengikut kehendak di sini tetapi kehendak sebelah dalam (pedalaman) lain. Jadi, kena olah dengan baik," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan