BH Online
Ringkasan Berita

Palestin mohon sokongan berterusan Malaysia bagi pemulihan pendidikan

KUALA LUMPUR: Palestin memohon sokongan berterusan daripada Malaysia untuk mengekalkan dan membina semula sistem pendidikannya yang terjejas teruk akibat konflik, terutamanya di Gaza.
Palestin mohon sokongan berterusan Malaysia bagi pemulihan pendidikan

Kem pelarian di Khan Younis, selatan Gaza. - Foto REUTERS

KUALA LUMPUR: Palestin memohon sokongan berterusan daripada Malaysia untuk mengekalkan dan membina semula sistem pendidikannya yang terjejas teruk akibat konflik, terutamanya di Gaza.

Menteri Pendidikan dan Pengajian Tinggi Palestin, Dr Amjad Barham, berkata bantuan Malaysia, termasuk biasiswa untuk pelajar Palestin dan sokongan langsung kepada komuniti di Gaza, telah membantu memastikan pendidikan kekal diakses walaupun dalam keadaan sukar.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan saudara kami, rakyat Malaysia, atas sokongan berterusan mereka kepada pelajar dan anak-anak kami.

"Kami berharap sokongan ini akan berterusan, kerana kami memerlukan lebih banyak bantuan untuk pelajar dan anak-anak kami di Gaza, Baitulmuqaddis dan Tebing Barat," katanya dalam temu bual menerusi program Bernama TV, Bernama World, bertajuk: Palestine Beyond the Headlines: Education in Focus, pada Khamis.

Barham berkata sektor pendidikan Palestin berdepan krisis teruk, dengan hampir 293 bangunan sekolah kerajaan di Gaza musnah sejak tiga tahun lepas, menyebabkan lebih 700,000 pelajar tidak dapat menghadiri sekolah seperti biasa.

Beliau berkata lebih 80 peratus bangunan universiti di Gaza turut musnah, menjejaskan lebih 82,000 pelajar universiti.

Krisis itu, katanya, melangkaui Gaza, dengan pelajar dan guru di Baitulmuqaddis serta Tebing Barat berdepan pos kawalan, penutupan jalan dan sekatan yang menyebabkan perjalanan ke sekolah dan universiti menjadi semakin sukar.

"Sesetengah guru menghabiskan masa lima atau enam jam di pos kawalan hanya untuk sampai ke sekolah mereka pada sebelah pagi," katanya.

Beliau juga berkata kesukaran kewangan Pihak Berkuasa Palestin telah menjejaskan sektor pendidikan, terutamanya keupayaannya untuk membayar gaji guru, berikutan tindakan Israel menahan hasil cukai Palestin yang dikutip di sempadan.

Menurut beliau, para guru hanya menerima sebahagian daripada gaji mereka, kadangkala pada selang masa 40 hari atau dua bulan, sejak tiga tahun lepas.

Meskipun dalam keadaan sedemikian, Barham berkata kementerian sedang bekerjasama dengan komuniti antarabangsa untuk menubuhkan sekolah sementara dan pusat pembelajaran di Gaza.

Beliau berkata lebih 3,000 guru turut terlibat dalam menyediakan pembelajaran dalam talian dari Tebing Barat kepada pelajar di Gaza.

Kementerian itu juga telah mengendalikan peperiksaan sekolah menengah Tawjihi bagi pelajar Palestin, termasuk mereka di Gaza, manakala keputusan bagi pelajar dari Gaza, Baitulmuqaddis dan Tebing Barat dijangka diumumkan pada Jumaat.

Keputusan itu juga merangkumi pelajar yang telah meninggalkan Gaza dan kini menetap di lebih 46 negara.

"Kami mahu mengembalikan harapan dalam kalangan mereka. Walaupun pelbagai tindakan dilakukan terhadap pendidikan Palestin, kami akan meneruskan dan memulihkan sistem pendidikan di seluruh Palestin," katanya.

Sementara itu, di peringkat universiti, Barham berkata sesetengah pelajar di Gaza menghadiri kelas di dalam khemah, manakala universiti di Gaza dan Tebing Barat terus menawarkan pembelajaran dalam talian.

Universiti di Palestin juga bekerjasama dengan ahli akademik dari negara lain untuk menyediakan makmal maya, kemudahan simulasi dan kuliah dalam talian.

Beliau berkata usaha juga sedang dijalankan untuk memulihkan pembelajaran secara bersemuka di bangunan yang masih boleh digunakan dan di lokasi sementara di Gaza.

Lebih 5,000 pelajar universiti yang telah meninggalkan Gaza ke Mesir dan negara lain turut dibantu untuk menamatkan pengajian mereka dan seterusnya memperoleh pekerjaan bagi menyara keluarga mereka. – BERNAMA

Video Terkini

Berita Berkaitan