BH Online
Ringkasan Berita

Kerajaan pergiat langkah intervensi tangani kesihatan mental penjawat awam - KPPA

SEREMBAN: Kerajaan mempergiat langkah intervensi awal bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam selepas kajian MyPsych mengenal pasti lebih 40,000 penjawat awam mempunyai kecenderungan ke arah tingkah laku negatif termasuk cubaan membunuh diri.
Kerajaan pergiat langkah intervensi tangani kesihatan mental penjawat awam - KPPA

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz bergambar bersama penjawat awam selepas dialog aspirasi perkhidmatan awam MADANI Negeri Sembilan Siri 2 2026 di Wisma Negeri hari ini.- Foto BERNAMA

SEREMBAN: Kerajaan mempergiat langkah intervensi awal bagi menangani isu kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam selepas kajian MyPsych mengenal pasti lebih 40,000 penjawat awam mempunyai kecenderungan ke arah tingkah laku negatif termasuk cubaan membunuh diri.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, berkata susulan itu, ketua jabatan dimaklumkan supaya bekerjasama dengan pegawai psikologi bagi melaksanakan intervensi awal terhadap individu yang dikenal pasti berisiko.

"Langkah intervensi dilaksanakan sesegera mungkin di setiap jabatan dan kementerian...kita bimbang apabila perkara ini tidak ditangani dengan segera, ia boleh merebak dan akhirnya berlaku perkara tidak diingini.

"Perkara ini perlu ditangani sebaik mungkin supaya pegawai kita bebas daripada isu kesihatan mental dan dapat terus memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat," katanya kepada media selepas Dialog Aspirasi Perkhidmatan awam MADANI Negeri Sembilan Siri 2 2026, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

TAN SRI WAN AHMAD DAHLAN ABDUL AZIZ_b45c242179564b939e46b6b35e93b085
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz ketika berucap pada dialog aspirasi perkhidmatan awam MADANI Negeri Sembilan Siri 2 2026 di Wisma Negeri hari ini. - Foto BERNAMA

Beliau berkata, kerajaan bukan sahaja memberi perhatian kepada individu berdepan masalah malah turut menilai faktor organisasi seperti persekitaran dan budaya kerja yang mungkin menyumbang kepada tekanan.

Justeru, beliau berkata, program Happy at Work diperkenalkan bagi menggalakkan ketua jabatan mewujudkan suasana kerja lebih kondusif dan menyeronokkan, sekali gus membantu mengurangkan risiko masalah kesihatan mental dalam kalangan penjawat awam.

Beliau berkata, walaupun hasil tinjauan terkini menunjukkan terdapat sedikit peningkatan dalam bilangan penjawat awam yang dikenal pasti berisiko, pihaknya yakin langkah intervensi segera termasuk sesi kaunseling secara individu oleh pegawai psikologi dapat membantu menangani isu berkenaan.

"Kita tidak hanya melihat kepada mereka tetapi juga dalam organisasi, sama ada terdapat kekurangan atau kelemahan seperti tidak menyediakan ruang kondusif atau suasana tempat kerjakurang baik dan sebagainya.

Wan Ahmad Dahlan berkata, langkah intervensi segera perlu dilakukan untuk memastikan pegawai JPA berada pada tahap kesihatan mental yang stabil dan boleh memberi perkhidmatan yang baik kepada rakyat.

"Insya-Allah, saya percaya dengan langkah-langkah yang sudah dan sedang diambil ini, perkara ini akan kita atasi segera dan lama-kelamaan ia dapat ditangani dan diselesaikan dengan baik," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JPA sedang meneliti semua peraturan dan akta yang ada dalam setiap kementerian sama ada ia masih lagi sesuai diguna pakai atau sebaliknya.

Katanya, langkah itu antara sebahagian usaha JPA dalam melaksanakan reformasi terhadap perkhidmatan awam bagi mengurangkan karenah birokrasi.

"Adakah peraturan itu membebankan masyarakat ataupun tidak?. Adakah birokrasi kita terlalu menebal dan sebagainya.

"Ini fokus utama kita supaya setiap peraturan itu dapat memudahkan urusan rakyat dalam semua perkhidmatan yang diberikan oleh kerajaan," katanya.

Wan Ahmad Dahlan dalam ucapannya menggesa penjawat awam meningkatkan produktiviti, komitmen dan budaya kerja berprestasi tinggi bagi memastikan setiap dasar kerajaan dapat diterjemahkan secara pantas serta berkesan demi memenuhi aspirasi Malaysia MADANI.

Katanya, timbal balas yang dituntut daripada seluruh warga perkhidmatan awam susulan pelaksanaan pelbagai inisiatif kebajikan kerajaan ialah peningkatan prestasi di samping menyahut Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam secara lebih agresif.

Beliau berkata, rakyat kini mahukan urusan yang lebih cepat, mudah, telus dan mesra pelanggan, justeru reformasi perkhidmatan awam bukan lagi satu pilihan, sebaliknya suatu kemestian dan rakyat tidak sepatutnya dibebankan dengan urusan kaunter yang berulang-alik dan tempoh menunggu yang lama.

Video Terkini

Berita Berkaitan