KUALA LUMPUR: Seorang bekas penganalisis bank dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah menjalankan urus niaga sekuriti tanpa lesen dan menggunakan gelaran perunding unit amanah (UTC) secara tidak sah.
Hakim Hamidah Mohamed Deril membuat keputusan itu selepas mendapati tertuduh, Mohd Arif Fadzlee Mohd Arifin, gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mohd Arif didapati bersalah menyamar sebagai wakil CIMB Wealth Advisors Bhd dan menjalankan urus niaga sekuriti tanpa memiliki lesen yang sah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 59(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA), yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Mohd Arif turut didapati bersalah mengikut Seksyen 362(3) CMSA kerana menggunakan gelaran UTC di Petaling Jaya, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan pada 2011, sekali gus memberi gambaran beliau mempunyai lesen untuk menjalankan urus niaga sekuriti sedangkan sebaliknya.
Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 10 saksi termasuk dua mangsa.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Annarina Chacko Jacob bersama pegawai pendakwa, Mohd Shafiq Azman, Eunice Ong dan Sharifah Noor Effah Syed Ahmad Fuad, manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Salihen Mastor.






















