BH Online
Ringkasan Berita

Peniaga wanita didenda kali kedua benarkan PATI di premisnya

PASIR MAS: Seorang pemilik kedai runcit yang pernah didenda RM5,000 pada tahun lalu kerana membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di premisnya, hari ini sekali lagi didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengulangi kesalahan sama.
Peniaga wanita didenda kali kedua benarkan PATI di premisnya

Rohaida yang didenda RM5,000 tahun lalu kerana membenarkan seorang PATI tinggal di premisnya, didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana mengulangi kesalahan sama. NSTP/WANNA ABDUL RAHIM

PASIR MAS: Seorang pemilik kedai runcit yang pernah didenda RM5,000 pada tahun lalu kerana membenarkan pendatang asing tanpa izin (PATI) berada di premisnya, hari ini sekali lagi didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas mengulangi kesalahan sama.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zulkpli Abdullah, menjatuhkan hukuman itu terhadap Rohaida Abd Rahman selepas wanita berusia 53 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut memerintahkan Rohaida yang tidak diwakili peguam, dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Rohaida didakwa membenarkan seorang lelaki warga Indonesia tanpa dokumen sah, Muhamad Irfan, 27, berada di premis kedai runcit Baroena Jaya Enterprise di Jalan Pintu Geng, Kota Bharu, kira-kira jam 12 tengah hari pada 13 Julai lalu.

Siasatan mendapati lelaki itu tinggal melebihi tempoh dibenarkan di Malaysia, sekali gus melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Rohaida pula didakwa mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 55E(2) akta sama.

Pendakwaan kes itu yang dilakukan Siti Khaidijah Khairuddin, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan tertuduh pernah disabitkan atas kesalahan sama sebelum ini.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Rohaida merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan perniagaannya semakin merosot, masih mempunyai anak bersekolah untuk ditanggung dan suaminya pula sakit.

Zulkpli mengingatkan Rohaida bahawa dia pernah disabitkan atas kesalahan sama di Mahkamah Majistret Tanah Merah tahun lalu.

Beliau berkata, mengikut Seksyen 55E(2) Akta Imigresen 1959/63, sabitan kali kedua atau berikutnya memperuntukkan denda minimum RM10,000 bagi setiap PATI yang ditemui berada di premis berkenaan.

"Oleh sebab ini kesalahan kedua kamu, undang-undang menetapkan denda minimum RM10,000 bagi setiap PATI yang ditemui di premis. Adakah kamu masih mahu mengaku bersalah," katanya.

Rohaida menjawab, "Ya, Yang Arif."

Mahkamah kemudian merekodkan pengakuan bersalah tertuduh sebelum menjatuhkan hukuman denda RM10,000.

Video Terkini

Berita Berkaitan