KUALA TERENGGANU: Bekas pelajar kolej yang sedang menunggu keputusan untuk melanjutkan pengajian ke universiti awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan merogol seorang pelajar universiti.
Bagaimanapun, tertuduh, Mohamad Danish Mohd Suhaimi, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol seorang wanita berusia 18 tahun pada 6 Jun lalu kira-kira jam 10.30 malam di sebuah rumah di Taman Tembesu Perdana, Kuala Terengganu yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asymawi Ghazali memohon mahkamah mengenakan jumlah jaminan RM20,000 terhadap tertuduh, namun peguam tertuduh daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Nasrul Syahmi Mohd Ariffin memohon jaminan paling minimum dengan alasan anak guamnya masih menunggu keputusan melanjutkan pengajian, selain masih ditanggung sepenuhnya oleh keluarga.
Nazlyza kemudian membenarkan Mohamad Danish dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan supaya tertuduh tidak mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan, selain menetapkan 23 Ogos depan sebagai tarikh sebutan bagi penyerahan dokumen berkaitan kes.


















