BH Online
Ringkasan Berita

Zahid balas pantun Anwar, tegas kekal kerjasama hingga tamat penggal Parlimen

GEORGETOWN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menepis sebarang dakwaan berhubung wujudnya usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Zahid balas pantun Anwar, tegas kekal kerjasama hingga tamat penggal Parlimen

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada sidang media selepas Mesyuarat EXCO-EXCO Luar Bandar (MEXCLUB), hari ini. - Foto NSTP/Auris Faqrurazzi

GEORGETOWN: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menepis sebarang dakwaan berhubung wujudnya usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, tiada gerakan politik seperti 'Langkah Bangkok' atau 'Langkah Dubai', selain menegaskan BN kekal komited sepenuhnya untuk berada dalam Kerajaan Perpaduan sehingga akhir penggal Parlimen ke-15.

"(Ada) Macam-macam telahan, macam-macam bacaan. Dia bergantung kepada saya. Saya tiada niat langsung, tiada Langkah Bangkok ke, tiada Langkah Dubai ke tak ada.

"Apabila kami komited untuk berada di dalam Kerajaan Perpaduan atas titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong dulu, kami komited sehingga akhir penggal Parlimen yang ke-15. Noktah. Jangan perlu timbul keraguan dan sebagainya.

"Biarkan orang bercakap asalkan dalam minda kita ada pemikiran bahawa kita harus bersama untuk stabil politik dan jiwa kita harus ikhlas dalam perkara ini. Biarlah apa saja orang bercakap," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ahmad Zahid turut membacakan balasan pantun buat Perdana Menteri nukilannya sendiri pada jam 9.04 malam tadi berbunyi:

Mendaki ke Gunung Tahan
Jatuh ke gaung temui maut
Bumbung tercabut mampu ditahan
Jika ribut di terbang ke laut

Ketika ditanya mengenai tahap keakraban hubungan beliau bersama Perdana Menteri, Ahmad Zahid berkata, sama ada masih baik atau tidak secara berseloroh berkata, "Tengoklah... yang tak buat cuma tak ada cium mulut sahaja, lain semua okay," katanya.

Semalam, Perdana Menteri menerusi hantaran di laman Facebook rasminya menitipkan pantun empat kerat yang menekankan nilai setiakawan berbunyi:

Burung merbah terbang sekawan,
Guruh berdentum membelah awan,
Berbeza langkah, jangan putus kawan,
Selagi muafakat, kita sehaluan.

Dalam hantaran itu, Anwar turut berkongsi gambar suasana mesyuarat Jemaah Menteri yang antaranya dihadiri Ahmad Zahid dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang dilihat mesra serta ceria.

Perkongsian itu hadir ketika tumpuan seluruh negara kini terarah kepada hubungan antara Pakatan Harapan (PH) dan BN yang sedang mengharungi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Video Terkini

Berita Berkaitan