BH Online
Ringkasan Berita

Penantian 8 beradik miliki sijil kelahiran, kad pengenalan berakhir - JPN

KUALA KRAI: Penantian lapan beradik untuk memiliki dokumen pengenalan diri akhirnya berakhir apabila mereka menerima sijil kelahiran dan kad pengenalan yang diproses melalui permohonan daftar lewat di kediaman mereka di Kampung Johol, hari ini.
Penantian 8 beradik miliki sijil kelahiran, kad pengenalan berakhir - JPN

Badrul Hisham (dua kiri) menyerahkan dokumen pengenalan diri kepada seorang daripada anak Zampini dan Nor Syuhada dari Kampung Johol selepas Program MEKAR: Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri, hari ini. NSTP/ Hazira Ahmad Zaidi

KUALA KRAI: Penantian lapan beradik untuk memiliki dokumen pengenalan diri akhirnya berakhir apabila mereka menerima sijil kelahiran dan kad pengenalan yang diproses melalui permohonan daftar lewat di kediaman mereka di Kampung Johol, hari ini.

Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias, berkata kejayaan itu membuktikan komitmen Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memastikan setiap individu yang memenuhi syarat mengikut undang-undang tidak tercicir daripada mendapatkan dokumen pengenalan diri, termasuk mereka yang tinggal di pedalaman dan sukar diakses.

Beliau berkata, pada 21 April lalu, JPN Kelantan melalui Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) datang ke kediaman keluarga terbabit susulan maklumat disalurkan aktivis Pertubuhan Jejak Jalanan, Abbe Hae, mengenai lapan anak pasangan suami isteri, Zampini Abdul Wahab, 53, dan Nor Syuhada Wahab, 40, belum pernah didaftarkan kelahirannya.

"Bagi melaksanakan siasatan dan urusan pendaftaran, pasukan MEKAR JPN Kelantan menempuh perjalanan kira-kira 45 minit menaiki bot dari Jeti Tangga Krai menyusuri Sungai Kelantan untuk tiba di rumah keluarga berkenaan.

"Hasil semakan mendapati semua lapan anak pasangan itu berusia antara enam hingga 19 tahun tidak pernah didaftarkan kelahirannya di mana-mana pejabat JPN," katanya selepas Program MEKAR Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Johol, hari ini.

Badrul Hisham berkata, siasatan mendapati kelewatan pendaftaran berpunca daripada beberapa faktor, termasuk masalah keluarga, ketiadaan dokumen perkahwinan dan kesukaran mendapatkan pengangkutan untuk berurusan di pejabat JPN.

"Bagaimanapun, selepas siasatan, semakan dokumen dan penelitian menyeluruh dibuat, JPN dapati semua lapan anak mereka memenuhi syarat pendaftaran kelahiran mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

"Selepas sijil kelahiran didaftarkan dan dikeluarkan, urusan permohonan kad pengenalan turut diproses mengikut undang-undang berkaitan sehingga akhirnya diserahkan kepada mereka," katanya.

Lapan beradik terbabit iaitu Muhammad Hamizul, 19; Muhammad Hilkairi, 17; Muhammad Hilkar, 16; Siti Nor Rubillah, 14; Siti Nor Rossa, 13; Siti Norria Akila, 11; Muhammad Narwa Ahadi, 8; dan Muhammad Hafitdan, 6.

Sementara itu, Badrul Hisham berkata, JPN merekodkan 4,598 permohonan daftar kelahiran lewat di seluruh negara bagi tempoh 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini.

Beliau berkata, kebanyakan kes membabitkan penduduk di pedalaman atau mereka yang kurang peka mengenai kepentingan mendaftarkan kelahiran dalam tempoh ditetapkan.

"Antara faktor dikenal pasti ialah isu perkahwinan termasuk yang tidak didaftarkan atau berlangsung di luar negara, selain sikap menangguhkan urusan sehingga anak memerlukan sijil kelahiran untuk tujuan persekolahan, peperiksaan atau melanjutkan pelajaran.

"Namun, setiap permohonan akan dinilai berdasarkan fakta, dokumen sokongan dan peruntukan undang-undang berkuat kuasa. Kelewatan mendaftarkan kelahiran tidak bermaksud sesuatu permohonan akan diluluskan secara automatik.

"JPN juga tidak ada kes tertunggak kerana setiap bulan mesyuarat khas diadakan bagi mempercepatkan penyelesaian kes, termasuk rayuan yang dirujuk ke Ibu Pejabat JPN," katanya.

Badrul Hisham berkata, pendaftaran kelahiran adalah langkah penting bagi memastikan setiap individu layak menikmati hak warganegara, termasuk akses kepada kemudahan kesihatan, pendidikan dan pelbagai perkhidmatan kerajaan.

"Justeru, ibu bapa atau penjaga perlu mendaftarkan kelahiran anak dalam tempoh ditetapkan bagi mengelak pelbagai kesulitan pada masa depan.

"Setiap permohonan akan diproses secara teliti, adil dan berlandaskan undang-undang berkuat kuasa," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan