GEORGETOWN: Cadangan pembentukan persefahaman antara Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang mahu dikenali Perikatan Barisan Nasional tidak pernah dibincangkan secara rasmi antara parti komponen itu.
Pengerusi BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, berkata setakat ini cadangan hanya dibangkitkan menerusi ucapan dalam siri kempen politik semata-mata.
Beliau berpandangan, sekiranya hasrat berkenaan mahu dibuat secara serius, pihak yang mencadangkannya perlu mengemukakan cadangan secara rasmi untuk diperincikan.
"Sebaiknya adakan perbincanganlah. Kita 'formalize' (lakukan secara rasmi) lah kalau itu serius cadangannya.
"Tetapi kalau setakat kempen saja, saya fikir harus diperincikanlah cadangan berkenaan," katanya ringkas pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ditemui selepas menyempurnakan Mesyuarat Pelarasan antara KKDW bersama Exco-exco luar bandar (MEXCLUB) ke-61 Bilangan 1 2026 di sini.
Terdahulu, media melaporkan Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, mahu persefahaman antara PN dan BN pada PRN Negeri Sembilan ke-16 dikenali sebagai Perikatan Barisan Nasional.
Beliau berkata, gelaran itu diperkenalkan bagi memudahkan rakyat memahami persefahaman kedua-dua gabungan, selain mengelak kekeliruan apabila menyebut PN dan BN secara berasingan.
Dalam perkembangan sama, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut dilaporkan berkata, cadangan menamakan gabungan politik baharu sebagai Perikatan Barisan Nasional sebagai tidak sesuai dan 'tak senonoh'.
























