BH Online
Ringkasan Berita

PRN NS: 'Saya akan lihat kesesuaian... ada perkara sensitif tak perlu diperdebatkan' - Tok Min

PORT DICKSON: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, mahu meneliti terlebih dahulu sebarang cadangan mengadakan debat terbuka serta topiknya jika menerima pelawaan sedemikian daripada pihak lawan.
PRN NS: 'Saya akan lihat kesesuaian... ada perkara sensitif tak perlu diperdebatkan' - Tok Min

Aminuddin ketika mengadakan sesi ramah mesra bersama penduduk di Kampung Barisan, hari ini. - Foto TVN

PORT DICKSON: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, mahu meneliti terlebih dahulu sebarang cadangan mengadakan debat terbuka serta topiknya jika menerima pelawaan sedemikian daripada pihak lawan.

Beliau yang turut bertanding sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini berkata, sebarang perdebatan perlu mempunyai skop dan hala tuju yang jelas.

"Saya akan melihat kesesuaian dan apa keperluan untuk kita mengadakan debat berkenaan.

"Kita perlu ada pengkhususan, perbincangan mengenai debat itu... saya perlu lihat dulu apa yang akan diperdebatkan.

"Ada perkara sensitif yang tidak perlu diperdebatkan kerana ia akan memberi kesan buruk," katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi ramah mesra di Kampung Barisan, di sini, hari ini.

Terdahulu, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan yang juga calon Barisan Nasional (BN) di DUN Pertang, Datuk Seri Jalaluddin Alias, dilaporkan bersedia untuk berdebat jika menerima pelawaan pihak lawan.

Mengulas sama ada kerjasama BN-Perikatan Nasional (PN) dan naratif 'Gelombang Melayu' memberi ancaman kepada PH di Negeri Sembilan pula, Aminuddin tidak menolak kemungkinan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau melihat sentimen itu sebagai masih berkecuali dalam kalangan pengundi.

"Bukan tidak ada pengaruh tetapi saya rasa rakyat Negeri Sembilan mampu menilainya. Saya nampak perkara itu agak neutral di Negeri Sembilan.

"Mungkin ada ancaman... tetapi sebesar mana ancaman itu, kita belum tahu lagi. 'Gelombang Melayu' ini sudah lama kita dengar, termasuk pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu, namun kita perlu melihat sejauh mana kekuatannya," katanya.

Sementara itu, Amiruddin berkata, beliau memang sudah menjangka PAS meneruskan momentum mengarahkan ahli dan penyokongnya mengundi calon BN sebagaimana dilakukan pada PRN Johor ke-16.

"Kita sudah menjangka mereka membuat pengumuman itu, dan saya berharap masyarakat tidak terpengaruh dengan kata-kata berkenaan kerana kita ada identiti serta jati diri," katanya kepada pemberita pada program Jelajah 'Kekal HARAPAN' yang turut dihadiri Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas arahan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, supaya semua ahli dan penyokong gabungan itu mengundi calon BN di 25 kerusi DUN pada 1 Ogos ini.

Video Terkini

Berita Berkaitan