JERANTUT: Menternak biri-biri bukan sekadar hobi bagi seorang bekas guru, sebaliknya menjadi terapi yang membantu mengurangkan tekanan serta kebimbangan selepas disahkan menghidap kanser payu dara.
Azlina Dollah, 66, dari Kampung Seri Kool, di sini menjadikan rutin mengurus ternakan itu setiap hari untuk memberi ketenangan dan mengisi masa lapangnya selepas bersara.
Bekas guru Bahasa Inggeris yang juga lulusan Universiti Leeds itu berkata hubungan rapat dengan ternakan menjadi sumber kegembiraan, terutama ketika berdepan cabaran kesihatan.
"Setiap kali melangkah masuk ke kawasan ternakan, biri-biri berlari mendapatkan saya, menggesel badan pada saya.... ia membuatkan saya lebih tenang dan gembira"
"Sejak menyedari ada ketumbuhan pada 2020 sebelum menjalani pembedahan di sebuah hospital tahun lalu, aktiviti menternak banyak membantu saya menghilangkan kerisauan.
"Temujanji susulan di Institut Kanser Negara menjadi antara rutin rawatan yang perlu dilalui, namun aktiviti menternak banyak membantu mengurangkan tekanan serta memberinya semangat untuk meneruskan kehidupan," katanya.
Bercerita lanjut, katanya pada awal persaraan, dia hanya menguruskan kebun kelapa sawit, sebelum beralih kepada menternak biri-biri.
"Setiap hari saya memberi makan, menyediakan air dan memastikan keselamatan ternakan. Rutin ini memberikan kepuasan dan ketenangan kepada saya ketika menghadapi penyakit ini," katanya.
Menurut Azlina, dia mula menternak biri-biri pada 2021 selepas membeli tujuh biri-biri dengan harga kira-kira RM5,000, sekadar untuk hobi.
"Saya bermula dengan tujuh ekor, sebelum jumlah ternakan sehingga 12 ekor... malah biri-biri saya pernah meningkat sehingga 30 ekor satu-satu masa.
"Saya manfaatkan kawasan kediaman seluas kira-kira 0.8 hektar yang turut ditanam kelapa sawit bersebelahan rumah sebagai kawasan ternakan," katanya.
























