KUALA LUMPUR: Kerajaan mengarahkan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) menghentikan sementara semua pendaftaran pelarian, untuk membolehkan penyusunan semula sistem pengurusan menerusi program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP).
Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang Sauni, berkata keputusan Kabinet itu bertujuan memastikan pengurusan dan pendaftaran pelarian di negara ini dilaksanakan secara lebih teratur bawah kawal selia kerajaan.
"Kita melalui keputusan Kabinet telah mengarahkan UNHCR menghentikan sebarang pendaftaran pelarian buat masa ini kerana kita sedang menyusun semula pelaksanaan program DPP.
"Melalui DPP, kerajaan dapat menguruskan data dengan lebih tersusun, termasuk bagi tujuan penyelarasan data, pengesahan identiti, pemantauan dan kawal selia, tanpa bergantung pada rekod mana-mana entiti asing," katanya pada sidang Dewan Negara, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Hussin Ismail yang meminta penjelasan mengenai langkah penyelesaian kerajaan terhadap isu pelarian Rohingya yang tidak mempunyai sebarang dokumen identiti mahupun kerakyatan diiktiraf negara asal mereka, Myanmar.
Menjelaskan lanjut, Lukanisman berkata, pendaftaran bawah DPP akan dilaksanakan menerusi proses ketat dengan kerjasama pelbagai agensi penguatkuasaan.
Katanya, ia bagi memastikan hanya individu yang layak didaftarkan, selain bertujuan menghalang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) pada masa depan.
Beliau berkata, Malaysia turut meneruskan pendekatan multilateral terhadap Myanmar dan negara anggota ASEAN yang lain supaya menangani isu pelarian Rohingya secara lebih serius.
Langkah itu penting bagi mengelakkan Malaysia terus menanggung beban pengurusan pelarian memandangkan negara ini bukan penandatangan Konvensyen Mengenai Status Pelarian 1951, selain mengambil kira kesan terhadap masyarakat tempatan.
Sementara itu, Lukanisman memaklumkan bahawa kira-kira 5,000 warga Myanmar yang kini berada di depot tahanan imigresen akan dihantar pulang dengan menggunakan kapal tentera laut.
Sambil menjelaskan ia susulan kesediaan kerajaan negara itu menerima mereka kembali, beliau berkata, perkara itu adalah tertakluk kepada proses penyelesaian.
























