BH Online
Ringkasan Berita

3 gadis didakwa 'merempit' dengan aksi 'superman', 2 remaja mengaku bersalah

KUANTAN: Tiga gadis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menunggang motosikal secara berbahaya, termasuk melakukan aksi ‘superman’, pada 16 Julai lalu.
3 gadis didakwa 'merempit' dengan aksi 'superman', 2 remaja mengaku bersalah

Nur Liana Atirah (depan) bersama dua remaja perempuan dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuantan, hari ini. - NSTP/FAZLI AHMAD

KUANTAN: Tiga gadis dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menunggang motosikal secara berbahaya, termasuk melakukan aksi 'superman', pada 16 Julai lalu.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Pintasan Kuantan dari arah Terminal Sentral Kuantan ke Bukit Rangin, di sini, kira-kira jam 12.30 tengah malam.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan denda hingga RM15,000.

Dua tertuduh masing-masing remaja berusia 17 dan 18 tahun mengaku bersalah sebaik saja pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wahidah Zainal Abidin.

Seorang lagi tertuduh, Nur Liana Atirah Roslan, 21, yang bekerja sebagai pembantu kedai bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa polis, Inspektor Noraini Mohd Nor, manakala kesemua tertuduh tiada diwakili peguam.

Mahkamah kemudian membenarkan Nur Liana Atirah dan tertuduh berusia 18 tahun diikat jamin RM3,000, manakala seorang lagi tertuduh pula RM2,000.

Selain itu, mahkamah menetapkan 26 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan serahan laporan akhlak serta laporan sosial dua remaja terbabit.

Sebelum ini, tular rakaman video dalam media sosial menunjukkan aksi sekumpulan gadis menunggang motosikal secara berbahaya, termasuk melakukan aksi 'superman'.

Media seterusnya melaporkan kesemua penunggang motosikal terbabit ditahan ketika hadir memberi keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, 18 Julai lalu.

Video Terkini

Berita Berkaitan