SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) dijadual melancarkan satu lampiran manifesto sebagai pelengkap kepada manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Jumaat ini.
Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, berkata manifesto BN mempunyai persamaan dengan manifesto yang dirangka parti itu.
"Saya diamanahkan oleh PAS untuk melihat satu persatu manifesto BN dan manifesto yang kita buat hampir sama dengan manifesto BN yang sudah siap.
"Ada sedikit sebanyak yang tertinggal, maka kita buat lampiran sebagai pelengkap, maknanya kita bergerak dalam satu bentuk persefahaman," katanya berucap pada Ceramah Umum Perdana di Markas PAS Seremban di sini, malam tadi.
Hadir sama, Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mazalan Maarop serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Abu Ubaidah Redza.
Idris berkata, persefahaman antara PN dengan BN pada PRN kali ini mampu menjadi pencetus bukan saja kepada usaha menawan Negeri Sembilan, tetapi untuk PRN lain dan seterusnya Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
"Saya mengharapkan satu perubahan berlaku dalam politik Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini," katanya.
Sementara itu, Mahdzir ketika berucap menegaskan, dinamika politik kerap mencetuskan pelbagai keadaan yang ada ketikanya berkawan dan berlawan.
"BN dan PN tidak terkecuali daripada dinamik ini dalam menghadapi pilihan raya negeri di Negeri Sembilan.
"Persefahaman ini adalah penyatuan bangsa dan bukan untuk mengetepikan mana-mana kaum lain.
"Ini terbukti menerusi agihan kerusi yang menyaksikan semua kaum diturunkan sebagai calon, maka tidak timbul isu kaum lain terpinggir jika BN-PN diberi mandat.
"Pentadbiran BN dan UMNO selama lebih 50 tahun tidak tinggalkan mana-mana kaum pun kerana matlamatnya ialah membantu dan membela rakyat," katanya.
























