BH Online
Ringkasan Berita

Ibu tunggal hilang dua kereta akibat banjir kilat dalam tempoh tiga bulan

PETALING JAYA: Belum pun reda kesedihan kehilangan suami akibat kanser tahun lalu, seorang ibu tunggal kini diuji sekali lagi apabila dua keretanya musnah akibat banjir kilat hanya dalam tempoh tiga bulan.
Ibu tunggal hilang dua kereta akibat banjir kilat dalam tempoh tiga bulan

Perodua Bezza milik Sivasangari Rama Rago (gambar kiri) selepas ditenggelami banjir kilat di Petaling Jaya baru-baru ini. - Foto Sivasangari Rama Rago

PETALING JAYA: Belum pun reda kesedihan kehilangan suami akibat kanser tahun lalu, seorang ibu tunggal kini diuji sekali lagi apabila dua keretanya musnah akibat banjir kilat hanya dalam tempoh tiga bulan.

Sivasangari Rama Rago, 41, berkata nasib malang itu menimpanya pada tarikh, hari dan waktu yang hampir sama, sekali gus disifatkannya sebagai satu kebetulan yang sukar dipercayai.

"Kereta pertama rosak akibat banjir pada 18 April. Kereta kedua pula pada 18 Julai. Kedua-duanya berlaku pada hari Sabtu sekitar jam 4 petang.

"Memang sukar dipercayai. Saya rasa macam nasib tidak menyebelahi saya," katanya.

22nt06rago_139692828
Sivasangari Rama Rago

Menurut pegawai khidmat pelanggan yang tinggal di Taman Medan, kereta Proton Persona miliknya diisytiharkan lupus selepas ditenggelami banjir pada April lalu.

Dengan wang pampasan insurans, beliau membeli sebuah Perodua Bezza, namun kenderaan itu turut rosak dalam banjir kilat pada 18 Julai lalu.

"Saya kehilangan suami akibat kanser pada Ogos tahun lalu, dan kini kehilangan dua kereta dalam tempoh tiga bulan kerana banjir.

"Saya tidak tahu apa lagi hendak dikatakan. Ujian ini terlalu berat untuk saya," katanya.

Sivasangari berkata, ketika kejadian terbaru, beliau berada dalam keretanya selepas diminta anggota keselamatan memindahkan kenderaan berikutan paras air yang semakin meningkat.

"Saya hanya mengikut arahan kerana sudah panik. Tetapi air naik terlalu cepat sehingga kereta saya terkandas. Ketika saya masih berada dalam kereta, air mula memasuki ruang kabin," katanya.

Beliau bagaimanapun bernasib baik apabila seorang lelaki yang melalui kawasan itu tampil membantu.

"Dia berkata, 'Adik, lebih baik keluar dari kereta. Nanti adik terperangkap. Nyawa lebih penting daripada kereta.'

"Dia memegang tangan saya dan membawa saya keluar meredah banjir ke tempat selamat. Kalau bukan kerana dia, saya tidak tahu apa yang akan berlaku," katanya.

Paras air hampir bumbung kereta

Sebaik tiba di tempat selamat, beliau hanya mampu melihat kereta baharunya hampir tenggelam sepenuhnya dengan paras air mencecah hampir ke bumbung.

Selepas air surut beberapa jam kemudian, beliau tidak lagi cuba menghidupkan enjin kerana yakin kereta itu sudah rosak.

Sivasangari berkata, kehilangan kenderaan memberi kesan besar kepada kehidupan hariannya kerana perlu menghantar dan mengambil dua anak lelakinya yang berusia lapan dan sembilan tahun dari sekolah, kelas tuisyen serta rumah pengasuh.

"Setiap hari saya terpaksa meminta bantuan orang lain. Memang sangat sukar," katanya.

Katanya, proses tuntutan insurans pula dijangka mengambil masa yang panjang.

Pusat servis memaklumkan proses penilaian kerosakan boleh mengambil masa beberapa minggu, manakala keseluruhan tuntutan insurans dijangka mengambil masa antara empat hingga enam bulan.

"Mereka kata saya perlu menunggu penilai insurans terlebih dahulu sebelum keputusan boleh dibuat.

"Empat bulan adalah tempoh minimum, malah mungkin hingga enam bulan," katanya.

Insurans kereta turut meliputi bencana banjir

Sivasangari bersyukur kerana mengambil perlindungan banjir dalam polisi insurans kenderaannya.

"Namun, itu tidak menyelesaikan masalah saya yang kini tiada pengangkutan sementara menunggu proses tuntutan selesai. Saya perlukan masa untuk membina semula kehidupan," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan