BH Online
Ringkasan Berita

Perancangan kewangan penting demi masa depan anak autisme

KUALA LUMPUR: Tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perancangan kewangan keluarga masih rendah, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap jaminan masa depan, terutama bagi keluarga yang mempunyai anak autisme.
Perancangan kewangan penting demi masa depan anak autisme

Pengerusi PMB Investment, Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman. - Foto NSTP/Aziah Azmee

KUALA LUMPUR: Tahap kesedaran masyarakat terhadap kepentingan perancangan kewangan keluarga masih rendah, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap jaminan masa depan, terutama bagi keluarga yang mempunyai anak autisme.

Pengerusi PMB Investment Bhd (PMB Investment), Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman, berkata perancangan kewangan bukan hanya tertumpu kepada persediaan persaraan, sebaliknya perlu dimulakan lebih awal bagi memastikan kebajikan anak berkeperluan khas terus terjamin untuk jangka panjang.

Menurutnya, keluarga yang mempunyai anak autisme berdepan komitmen kewangan yang berbeza berbanding keluarga lain kerana perlu mengambil kira kos terapi, pendidikan, penjagaan, kesihatan serta sokongan berterusan apabila anak meningkat dewasa.

"Perancangan bukan hanya mengenai jumlah wang yang perlu dikumpulkan, tetapi turut membabitkan siapa yang akan menjaga anak, siapa yang akan menguruskan kewangan mereka dan bagaimana sumber kewangan itu digunakan demi kepentingan anak pada masa depan.

"Semakin anak membesar, cabaran menjaga mereka juga semakin meningkat. Kos pendidikan dan terapi adalah tinggi, selain ibu bapa masih perlu berdepan persepsi masyarakat terhadap anak autisme.

"Sebab itu, kesedaran masyarakat juga memainkan peranan yang amat penting dalam membantu keluarga ini," katanya kepada BH ketika melawat ke Media Prima Berhad (MPB) di Balai Berita, Jalan Riong, Bangsar pada hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Hang Tuah Amin Tajudin.

Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman makan nasik
Pengerusi PMB Investment, Datuk Mohd Idzwan Izuddin Ab Rahman. - Foto NSTP/Aziah Azmee

Lawatan rombongan PMB Investment itu bertujuan mempromosikan filem pendek PMB Investment bertajuk 'Antara Ruang', yang memaparkan realiti kehidupan keluarga yang berdepan cabaran membesarkan anak autisme serta kesan terhadap perancangan kewangan dan hubungan kekeluargaan.

Ketibaan rombongan PMB disambut Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran.

Tingkatkan kesedaran masyarakat perancangan awal

Menurut Mohd Idzwan Izuddin, inisiatif penghasilan filem berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan membuat persediaan kewangan sejak awal, di samping menggalakkan perbincangan yang lebih terbuka mengenai isu autisme.

Katanya, perancangan kewangan menyeluruh perlu dilakukan merangkumi dana kecemasan, perlindungan, simpanan atau pelaburan jangka panjang dan pengurusan harta seperti wasiat, hibah serta amanah.

"Keluarga juga disarankan mendapatkan pandangan profesional yang berkelayakan mengikut bidang masing-masing.

"Sebagai persediaan, keluarga boleh bermula dengan menyenaraikan pendapatan, perbelanjaan, hutang, simpanan serta keperluan anak sebelum membahagikan matlamat kepada keperluan jangka pendek, sederhana dan panjang," katanya.

RM260,000 simpanan asas KWSP pada usia 60 tahun

Mengulas mengenai Simpanan Asas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM270,000 pada usia 60 tahun bagi 2026, beliau berkata jumlah itu boleh dijadikan panduan asas untuk persaraan, namun tidak boleh dianggap mencukupi bagi semua individu.

Katanya, ibu bapa yang mempunyai anak berkeperluan khas perlu merancang dua keperluan serentak iaitu kehidupan persaraan mereka sendiri dan kesinambungan penjagaan anak selepas mereka tiada.

"Jumlah yang diperlukan bergantung kepada keadaan anak, tempoh penjagaan, kos sara hidup, sumber pendapatan dan kemampuan setiap keluarga," katanya.

Menurut beliau, sebagai syarikat pengurusan dana Islam yang mempunyai pengalaman lebih 57 tahun dalam industri unit amanah, PMB Investment turut komited memperkukuh literasi pelaburan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan Bumiputera.

"Dalam keadaan kos sara hidup yang terus berubah dan keperluan persaraan yang semakin meningkat, keluarga tidak seharusnya menunggu sehingga mempunyai wang yang banyak untuk mula merancang.

"Bagi keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas, perancangan awal penting untuk memastikan kebajikan dan maruah anak terus terjaga," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan