KUALA LUMPUR:Pasukan VAT 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempertahankan kejuaraan kategori berpasukan Ujian Rentas Halangan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) 2026, sekali gus muncul juara kali ketiga berturut-turut.
Komander Skuadron Bravo, 69 Komando Pasukan Gerakan Khas (PGK) Ulu Kinta, Perak Deputi Superitendan Wan Nurisham Wan Isa berkata kejayaan itu diraih hasil latihan intensif selama 56 hari yang memberi tumpuan kepada peningkatan stamina, ketahanan fizikal dan keupayaan anggota, selain beberapa siri ujian di laluan pertandingan.
Beliau selaku pengelola sukan ujian rentas halangan VAT 69 Komando PGK berkata pasukannya turut berdepan cabaran apabila hujan pada hari pertandingan memaksa mereka mengubah strategi, namun tetap berjaya mengekalkan kejuaraan.
"Cabaran untuk pertandingan ini adalah cuaca. Sebelum ini, kita berlatih (kebanyakan) dalam keadaan kering pada waktu pagi, tengah hari, petang dan juga lewat petang. Jadi kita tak sangka perancangan Allah, hujan pada pagi ini menyebabkan kita terpaksa ubah strategi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Ujian Rentas Halangan JKDNKA 2026 di Lapang Sasar Briged Tengah PGA, Cheras di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah JKDNKA Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pertandingan tahunan yang berlangsung selama empat hari bermula 19 Julai itu melibatkan 20 pasukan dengan penyertaan 320 pegawai dan anggota daripada pelbagai formasi di bawah JKDNKA.
Beliau berkata peserta mengharungi 14 pusat pemeriksaan yang menguji kecergasan fizikal, ketahanan mental, kemahiran taktikal, kebolehan membuat keputusan di bawah tekanan serta keupayaan bekerja secara berpasukan.
Mohd Yusri berkata pertandingan yang telah menjadi tradisi JKDNKA sejak puluhan tahun lepas itu bertujuan meningkatkan kesiapsiagaan operasi serta profesionalisme pegawai dan anggota dalam melaksanakan tugas menjaga keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam.
Beliau berkata penyertaan melibatkan pelbagai elemen JKDNKA termasuk Unit Tindakan Khas (UTK), 69 Komando dan batalion Pasukan Gerakan Am (PGA).
"Seperti mana yang kita jangka, unit elit seperti UTK dan 69 Komando memang dijangka mengungguli pertandingan. Namun, saya melihatnya dari sudut positif apabila ia menjadi pemangkin kepada batalion dan elemen lain untuk terus berlatih serta meningkatkan keupayaan mereka.
"Keputusan acara individu yang dimenangi anggota dari Briged Sabah, diikuti 69 Komando dan UTK menunjukkan keupayaan anggota di seluruh KDNKA adalah setanding, bergantung kepada tahap persediaan dan latihan masing-masing," katanya.
– BERNAMA
























