SEREMBAN: Perikatan Nasional (PN) kesal dengan satu mesej tersebar yang mendakwa cuti hujung minggu di Negeri Sembilan akan ditukar ke Jumaat dan Sabtu sekiranya gabungan itu bersama Barisan Nasional (BN) diberikan mandat mentadbir kerajaan negeri ini.
Calon PN di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek, berkata penyebaran mesej dalam bahasa Mandarin itu adalah fitnah yang boleh menimbulkan kegusaran orang ramai.
"Tiada sebarang keputusan daripada pimpinan PN mahupun BN untuk menukar cuti hujung minggu Negeri Sembilan daripada Sabtu dan Ahad kepada Jumaat dan Sabtu.
"Mesej tular itu adalah tidak benar serta cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk menimbulkan keresahan dan mengelirukan masyarakat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Justeru, beliau meminta orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dan menghentikan penyebaran maklumat yang tidak disahkan.
"Berpolitiklah secara matang. Jangan jadikan fitnah sebagai senjata," katanya.
























