SEREMBAN: Perbuatan khianat sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.
Ia bagi membolehkan siasatan dan tindakan diambil mengikut undang-undang.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata ia susulan aduan diterima daripada calon PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi, berhubung beberapa papan iklan kempennya dipercayai dirosakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
"Tindakan khianat seperti ini kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasat dan mengambil tindakan. Ia satu kesalahan.
"Ada juga beberapa hantaran dalam Facebook yang seolah-olah menunjukkan pihak merosakkan papan iklan berkenaan.
"Kita mengingatkan semua pihak untuk berkempen dengan sihat dan asaskan kempen kepada idea serta fakta, bukan fitnah atau tindakan khianat," katanya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan PKR berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Gerai MPS Stadium Paroi, di sini, hari ini.
Mengulas perjalanan kempen secara keseluruhannya sepanjang lima hari pertama pula, Menteri Komunikasi itu berkata, suasana di semua pihak bertanding berjalan baik serta terkawal.
Beliau berkata, pergerakan kempen parti-parti politik kini masih berada pada peringkat awal.
"Ini baru minggu pertama, jadi ramai yang mungkin masuk 'gear dua', belum lagi 'gear enam'.
"Kita jangkakan menjelang minggu depan, suasana akan lebih hangat dan insya-Allah dalam hari-hari mendatang, lebih ramai pimpinan akan turun," katanya.
























