REMBAU: Di sebalik kesibukan mengejar masa berkempen, calon Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr Azizul Hakim Mahdi, sempat berhenti membantu seorang pemandu yang terbabit kemalangan dengan seekor anak lembu, hari ini.
Kereta Honda City dipandu individu berkenaan dipercayai terlanggar haiwan itu sebelum berhenti di tepi jalan di Jalan Rantau-Siliau, di sini.
Dr Azizul Hakim yang juga seorang doktor perubatan, kemudian keluar dari kenderaannya untuk memeriksa keadaan pemandu terbabit dan bertanya sama ada beliau mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ringkas mendapati pemandu terbabit tidak mengalami trauma atau kecederaan akibat kejadian itu.
"Tidak ada trauma. Kecederaan pun tidak ada. Semua baik," katanya ketika ditemui selepas kejadian itu.
Beliau berkata, pemandu terbabit bagaimanapun dinasihatkan membuat laporan polis bagi tujuan tuntutan insurans.
Dr Azizul Hakim mengaku kawasan berkenaan sering dilalui lembu, justeru menasihati pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati serta mengurangkan kelajuan.
Beliau kemudian meneruskan perjalanan untuk menghadiri program kempen di pekan Sega selepas kejadian itu.
























