JELEBU: Kerajaan tidak akan tunduk dengan desakan lapan Ahli Kongres Kerajaan Amerika Syarikat yang mahu negara itu menyemak hubungan dengan Malaysia.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata jemaah menteri sudah dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.
Beliau berkata, keputusan kerajaan adalah tidak akan tunduk dengan sebarang desakan atau tekanan daripada mereka.
Katanya, Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dan sudah semestinya tidak akan tunduk dengan desakan atau tekanan daripada negara lain.
"Jemaah Menteri sudah dimaklumkan tetapi kita sudah buat keputusan kekal dengan pendirian, tidak perlu patuh dengan desakan negara luar.
"Keputusan bukan sebab desakan negara luar tetapi berdasarkan kepentingan negara dan rakyat," katanya ketika ditemui pada program santai di Kampung Chennah, hari ini.
Semalam lapan ahli Kongres AS menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio yang menyuarakan tidak puas terhadap tindakan tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu mengusir segera rakyat Israel yang berada di Malaysia.
Ahli kongres terbabit menyuarakan kebimbangan yang amat serius terhadap kenyataan Anwar.
Loke berkata, keputusan Perdana Menteri mahu mengusir rakyat Israel di negara ini adalah satu keputusan tegas, sekali gus membuktikan keberanian dalam mempertahankan kedaulatan negara ini.
























