BH Online
Ringkasan Berita

PRN NS: Tok Min pesan jangan tunggang isu kaum, Amirudin perjelas strategi kempen PH

PORT DICKSON: Semua parti bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diingatkan supaya tidak ‘menunggang’ isu yang boleh memecah belahkan kaum di negeri ini.
PRN NS: Tok Min pesan jangan tunggang isu kaum, Amirudin perjelas strategi kempen PH

Datuk Seri Aminuddin Harun (kiri) dan Datuk Seri Amirudin Shari. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah

PORT DICKSON: Semua parti bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan diingatkan supaya tidak 'menunggang' isu yang boleh memecah belahkan kaum di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata perpaduan masyarakat majmuk harus dipertahan dan tidak dieksploitasi dengan modal politik perkauman demi mencapai matlamat.

"Negeri ini mempunyai persefahaman baik dalam kalangan masyarakat majmuk berbilang bangsa, kita tidak mahu perkara sensitif berlaku yang boleh menyebabkan perpecahan.

"Mereka tinggal dalam keadaan aman dan baik. Saya tidak nampak isu (kaum) perlu ditunggang untuk memecahkan dan mencapai matlamat sesuatu parti," katanya kepada pemberita dalam kempen di Linggi.

Naib Presiden PKR yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi yakin rakyat mampu menilai kecemerlangan pentadbiran PH selama lapan tahun sebagai kerajaan negeri.

Malah, katanya, manifesto PH bagi PRN kali ini membuktikan gabungan itu melaksanakan segala yang dijanjikan demi kesejahteraan rakyat.

"Dalam tempoh lapan tahun, Negeri Sembilan sealiran dengan kerajaan Pusat. Walaupun dalam lima tahun kita menghadapi pelbagai keadaan, iaitu mulanya dalam kerajaan, tapi selepas itu langkah Sheraton menyebabkan kita jadi pembangkang.

"Namun kedudukan sebagai pembangkang tidak menjadi isu, kita teruskan. Alhamdulillah, apabila PH menjadi kerajaan sejak 2023, keserasian inilah yang menjadikan negeri ini terus maju," katanya lagi.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, PH menumpukan strategi kempen mikro berasaskan lokaliti bagi menyampaikan mesej dan tawaran parti secara terus kepada pengundi pada peringkat akar umbi pada PRN ini.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata pendekatan berbentuk pertemuan kelompok kecil itu lebih berkesan kerana fokus kepada penyelesaian isu tempatan serta memenuhi keperluan khusus setiap komuniti tanpa menyentuh isu peribadi.

Bagaimanapun, beliau berkata, kempen secara besar-besaran atau ceramah mega tetap memainkan peranan penting sebagai penutup kepada siri kempen sebagai medan memperlihatkan kekuatan dan kesatuan jentera parti selain menarik perhatian pengundi atas pagar.

"Di Negeri Sembilan, PH peneraju kepada kerajaan dan aspek kestabilan yang ditunjukkan akan menjadi tawaran penting. PH mempunyai sejarah cemerlang termasuk meningkatkan simpanan negeri dan merancakkan kegiatan ekonomi dengan nilai pertumbuhan antara 25 hingga 28 peratus.

"Ini menjadi daya pengukuh kepada pembuat keputusan supaya memilih secara majoriti pakatan ini," katanya menambah keberkesanan kempen mikro turut disokong kekuatan jaringan jentera PH di Negeri Sembilan yang bertapak kukuh sejak gabungan itu diberi mandat pentadbiran pada 2018.

Mengenai penambahbaikan strategi berbanding PRN Johor sebelum ini, beliau berkata, PH memberikan penekanan kepada keselarasan mesej dan pengukuhan kerjasama jentera antara parti komponen bagi memastikan pergerakan kempen yang lebih tersusun.

Selain strategi kempen, Menteri Besar Selangor yang juga Naib Presiden PKR optimis rekod prestasi pentadbiran PH di bawah pimpinan Aminuddin dari 2018 hingga kini akan menjadi pengukur utama pengundi dalam memilih kestabilan politik di negeri ini.

Berhubung kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) pada PRN ini, beliau berkata, strategi itu realiti baharu dalam landskap politik negara yang menyaksikan pelbagai parti terus mencari formula gabungan terbaik sejak Pilihan Raya Umum 2018.

Katanya, pengalaman sebelum ini menunjukkan setiap gabungan politik mempunyai cabaran tersendiri, khususnya dalam memastikan kesepakatan, pembahagian kerusi dan hala tuju yang selari apabila berhadapan pilihan raya.

Amirudin berkata, keupayaan sesebuah gabungan tidak seharusnya dinilai berdasarkan keputusan satu pilihan raya semata-mata, sebaliknya bergantung kepada kemampuan mengekalkan kesepakatan dan mengurus cabaran jangka panjang.

Video Terkini

Berita Berkaitan