SHAH ALAM: Polis Selangor mengesahkan pemandu van sebuah syarikat keselamatan yang terbabit dalam kes cubaan rompak di Klang, meninggal dunia akibat serangan jantung ketika proses diambil keterangan, malam tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata mangsa seorang warga tempatan berusia 43 tahun itu bukan individu tular diacukan pistol oleh suspek dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang di Bandar Bukit Tinggi, Klang itu.
"Saya sahkan maklumat itu, memang seorang daripada petugas keselamatan rebah dan pengsan ketika sedang ditemubual di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
"Mangsa disahkan meninggal dunia ketika dibawa ke hospital dan bedah siasat yang selesai dijalankan semalam setakat ini menyatakan ia akibat masalah jantung.
"Lelaki yang meninggal dunia itu adalah pemandu van, bukan individu tular dengan suspek di luar van," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Mengulas siasatan kes terbabit, beliau berkata, keterangan diambil pada sebelah malam selepas kejadian.
"Setakat ini masih belum ada tangkapan, tetapi kita sudah ada beberapa petunjuk positif.
"Jika ada tangkapan atau maklumat lain, kita akan kongsikan motif kejadian. Setakat ini suspek masih belum dapat dikenal pasti," katanya.
Terdahulu, media melaporkan pengawal keselamatan berjaya menggagalkan cubaan rompakan seorang lelaki membabitkan wang tunai RM82,000 di hadapan sebuah bank di Bandar Bukit Tinggi, Klang pada Isnin lalu.
Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu berlaku ketika pekerja sebuah syarikat keselamatan sedang melaksanakan pemindahan wang ke dalam van.
Petugas syarikat keselamatan itu kemudian dihampiri seorang lelaki memakai jaket gelap dan topi keledar sambil mengacukan objek menyerupai pistol, namun dia bertindak pantas meletakkan beg berisi wang tunai itu ke dalam van sebelum segera menutup pintunya.
Shazeli berkata, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan dengan mengumpulkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bank dan premis berhampiran, selain rakaman kamera papan pemuka (dashcam) kenderaan.
























