KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia memberi kerjasama penuh siasatan polis berhubung kematian banduan di dalam tahanan dan layanan tidak wajar yang dibangkitkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO),baru-baru ini.
Penjara Malaysia dalam kenyataan, hari ini berkata pihaknya mengambil maklum berhubung kenyataan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM).
Katanya, perkara yang dibangkitkan dalam kenyataan berkenaan kini dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Kerjasama sepenuhnya diberikan kepada PDRM dalam membantu siasatan bagi memastikan segala fakta dapat diperoleh secara menyeluruh, telus dan mengikut undang-undang.
"Kami hormati proses perundangan yang berlangsung dan akan menunggu hasil siasatan pihak polis sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut berhubung perkara ini," katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jabatan Penjara Malaysia komited memastikan penghuni institusi penjara dilayan mengikut peruntukan undang-undang, peraturan, prosedur operasi standard (SOP) serta prinsip tadbir urus yang baik.
Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan oleh pihak berkuasa selesai.
Terdahulu, media melaporkan, Pengarah Eksekutif SUARAM, Azura Nasron, berkata seorang prospek berusia 69 tahun meninggal dunia pada 22 Jun lalu akibat penyakit kritikal di Penjara Temiang, Negeri Sembilan ketika menjalani hukuman penjara dua bulan.
Namun, ahli keluarga menyatakan prospek tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan mendakwa dihalang daripada melihat mayat pada hari yang sama.
Katanya, sebelum ini, ada dakwaan prospek diseksa warden menggunakan paip untuk memukul tapak kaki banduan itu sehingga mengakibatkan kecederaan parah pada 4 Jun lalu.
Azura menjelaskan insiden itu menunjukkan sistem penjara kekal dalam keadaan kritikal serta menuntut tindakan terhadap pegawai yang didapati cuai atau terbabit dalam dakwaan layanan buruk terhadap banduan.
























