BH Online
Ringkasan Berita

Imbangi pembangunan, khazanah kampung jadi fokus Ahmad Faez di DUN Labu

SEREMBAN: Mengimbangi kerancakan pembangunan komersial dengan pemeliharaan kampung tradisi menjadi agenda serta cabaran utama buat calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak.
Imbangi pembangunan, khazanah kampung jadi fokus Ahmad Faez di DUN Labu

Calon PH DUN Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak, ketika berkempen di Kampung Seri Labu, Batu 8.

SEREMBAN: Mengimbangi kerancakan pembangunan komersial dengan pemeliharaan kampung tradisi menjadi agenda serta cabaran utama buat calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Datuk Ahmad Faez Abdul Razak.

Beliau berkata, sasaran itu realistik dengan demografi DUN Labu dalam Lembah Wawasan Malaysia (MVV 2.0) membabitkan pelan pembangunan industri dan perumahan berkeluasan kira-kira 4,450 hingga 4,856 hektar.

"Walaupun limpahan projek mega itu bakal membuka peluang pekerjaan yang luas kepada penduduk setempat, struktur landskap sosial masyarakat asal tidak harus dipinggirkan.

"Labu antara DUN paling pesat membangun di Negeri Sembilan. Berbekalkan pengalaman sebagai pemaju perumahan, saya lihat ada keperluan mendesak untuk kita mengimbangi antara kemajuan moden dengan kelangsungan hidup orang kampung.

"Di situlah peranan yang akan saya cuba lakukan sehabis baik untuk masyarakat di sini," katanya ketika ditemui, di sini.

Mengenai tawarannya kepada pengundi, Ahmad Faez mahu menubuhkan pusat komuniti dan riadah khusus untuk golongan belia yang masih kurang di kawasan berkenaan.

Tampil pertama kali sebagai calon PKR di DUN Labu, beliau mengakui perasaannya bercampur-baur, namun tetap optimis dengan peluangnya.

Malah, beliau yakin gandingan mantap dan keselarasan antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan menjadi kelebihan menarik sokongan pengundi bagi merampas semula kerusi DUN Labu daripada penyandang, Mohamad Hanifah Abu Baker (BERSATU).

"Ini mungkin percubaan pertama saya bertanding, namun sebelum ini saya sering turun padang membantu jentera PH.

"Insya-Allah, saya nampak penerimaan dan sokongan rakyat di Labu semakin hari semakin baik hasil momentum inisiatif berterusan yang digerakkan kerajaan negeri sebelum ini," katanya.

DUN Labu menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Ahmad Faez, Mohamad Hanifah dan Siti Umaira Hasim dari Barisan Nasional (BN).

Video Terkini

Berita Berkaitan