BH Online
Ringkasan Berita

`Bubar parti bukan penyelesaian, parti BERJASA tak akan bubar'

KUALA LUMPUR: Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) menolak desakan pelbagai pihak supaya parti berkenaan dibubarkan bagi menyertai parti lain demi penyatuan ummah.
`Bubar parti bukan penyelesaian, parti BERJASA tak akan bubar'

Presiden Parti BERJASA yang juga calon kerusi DUN Nilai, Ustaz Zamani Ibrahim. Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) menolak desakan pelbagai pihak supaya parti berkenaan dibubarkan bagi menyertai parti lain demi penyatuan ummah.

Presidennya, Zamani Ibrahim, berkata pembubaran parti politik bukan penyelesaian praktikal, sebaliknya boleh mencetuskan pembentukan parti baharu pada masa hadapan.

Beliau berkata, saranan pembubaran itu dipercayai timbul daripada individu yang tidak pernah memimpin mana-mana organisasi atau parti politik.

"Orang yang biasa memimpin parti atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tidak akan bercakap demikian kerana tahu sesebuah organisasi itu mempunyai kekuatan tersendiri.

"Membubarkan parti bukan penyelesaian masalah," katanya dalam program Bicara PRN Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Zamani berkata, pendekatan terbaik bagi menyatukan kekuatan politik Melayu dan Islam adalah menerusi pembentukan satu gabungan atau 'payung besar'.

Katanya, konsep payung besar tidak sewajarnya terhad kepada parti politik tetapi perlu merangkumi gabungan pelbagai entiti termasuk NGO, tokoh akademik, agamawan dan sektor korporat.

"Penyelesaian praktikal ialah bagaimana kita menggarap semua pihak untuk duduk di bawah satu `payung besar' dengan hala tuju sama.

"Kita gabungkan kepakaran parti politik, ratusan NGO, golongan akademik dan agamawan untuk disusun menjadi kuasa semak dan imbang kepada senario politik sedia ada," katanya.

Sementara itu, Zamani, yang bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai tetap yakin dengan peluangnya walaupun berdepan saingan sengit lima penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH), J Arul Kumar; calon Barisan Nasional (BN), Lai Chien Kong; Datuk V Saravana Kumar (BERSATU) serta Omar Mohd Isa (BEBAS).

Beliau berkata, isu perumahan mampu milik, akses pekerjaan lebih baik untuk penduduk tempatan dan penambahbaikan sektor pendidikan serta kesihatan akan menjadi fokusnya sekiranya dipilih.

Sebagai calon tunggal parti itu, Zamani berkata, pembangunan pesat di Nilai mesti memberikan manfaat lebih besar kepada penduduknya.

Video Terkini

Berita Berkaitan