BH Online
Ringkasan Berita

PRN Negeri Sembilan: Teguran Zahid diterima, calon dan jentera BN diarah kerja keras - Jalaluddin

JELEBU: Semua calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sudah dipanggil dan diarah memperkemas serta mempergiat gerak kerja kempen.
PRN Negeri Sembilan: Teguran Zahid diterima, calon dan jentera BN diarah kerja keras - Jalaluddin

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias beramah mesra dengan penduduk ketika tinjauan mesra sekitar Kampung Lakai dan Medan Selera Pertang, hari ini. - NSTP/Mohd Zamri Zainon

JELEBU: Semua calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sudah dipanggil dan diarah memperkemas serta mempergiat gerak kerja kempen.

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata tindakan segera itu susulan peringatan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu jentera parti meningkatkan gerak kerja kempen menjelang hari pengundian.

Jalaluddin yang juga Timbalan Pengerusi BN Negeri Sembilan berkata, teguran itu membuktikan ada ruang perlu diperbaiki dan diperkemas, sekali gus meningkatkan momentum gerak kerja di semua peringkat bagi meyakinkan pengundi.

"Pengerusi sudah mengingatkan saya mengenai hal ini kerana beliau mendapat laporan daripada pelbagai pihak mengenai prestasi jentera kita di seluruh Negeri Sembilan.

"Saya sudah mengingatkan semua calon, termasuk rakan-rakan jentera di peringkat akar umbi, bilik gerakan, pusat daerah mengundi (PDM), jentera Pemuda, Wanita dan Puteri mengenai hal ini.

"Sama juga buat jentera Perikatan Nasional (PN) kerana kita bersama-sama mengharungi perjuangan di Negeri Sembilan ini," katanya selepas tinjauan mesra di Kampung Lakai dan sekitar Medan Selera Pertang, di sini hari ini.

Jalaluddin yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pertang pada PRN kal ini, berkata fokus kini memastikan setiap pengundi dan kawasan yang memerlukan perhatian diberi tindakan sewajarnya sepanjang baki tempoh berkempen.

"Kita ada 10 hari dari sekarang dan kena gunakan sepenuhnya untuk memperbaiki apa juga kekurangan," katanya.

Semalam, Ahmad Zahid dilaporkan belum berpuas hati dan mahu gerak kerja dan kempen parti diperkemas bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Video Terkini

Berita Berkaitan