KANGAR: Majlis Perbandaran Kangar (MPK) diwartakan sebagai Majlis Perbandaran Negeri Perlis (MPNPs), berkuat kuasa 16 Julai lalu.
Yang Dipertua MPNPs, Affendi Rajini Kanth, berkata proses pewartaan terbabit sudah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan pihaknya kini giat melaksanakan penjenamaan serta penyusunan semula struktur pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Beliau berkata, penjenamaan semula itu merangkumi pelbagai aspek pentadbiran termasuk pertukaran nama pada bangunan, akaun bank, serta penstrukturan perjawatan rasmi seperti Yang Dipertua dan Ahli Majlis.
"Tanggungjawab penjenamaan semula ini terletak bawah pihak kami.
"Kita akan memaklumkan perkara ini kepada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) serta Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi tujuan penyelarasan perjawatan.
"Kita berharap dengan pewartaan serta penjenamaan semula ini, kita akan dapat mengembangkan lagi inisiatif memperkasakan MPNPs secara total dan holistik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Prapelancaran Pusat Penyelidikan Asnaf Malaysia, Peluncuran Buku dan Penganugerahan Geran Penyelidikan FCoEE 2026, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Affendi berkata, MPNPs berhasrat memperkasakan pejabat cawangannya di Arau, Padang Besar dan Kuala Perlis bagi memudahkan lagi rakyat melakukan urusan berkaitan.
Beliau berkata, penambahbaikan yang bakal dilaksanakan termasuk penurunan kuasa bagi proses permohonan dan kelulusan lesen perniagaan pada peringkat cawangan.
"Sebelum ini, urusan permohonan lesen yang dihantar ke cawangan terpaksa dibawa ke ibu pejabat di Kangar untuk diproses serta diluluskan.
"Namun melalui penjenamaan semula ini, kita merancang untuk menempatkan pegawai Gred 41 bertaraf pengarah di setiap cawangan supaya kelulusan lesen boleh dibuat secara terus tanpa perlu melalui ibu pejabat, sekali gus mempercepatkan proses dan rakyat tidak lagi terbeban," katanya.
Ditanya mengenai penubuhan PBT baharu di Padang Besar pula, beliau berkata, fokus kerajaan negeri ketika ini ialah memperkasakan MPNPs terlebih dahulu sebelum menilai keperluan lain.
Katanya, penubuhan sebuah majlis perbandaran baharu menuntut penyediaan jentera besar, selain memberi implikasi kewangan yang tinggi terhadap kerajaan negeri.
"Bagi menubuhkan PBT baharu, ia memerlukan pelantikan sekurang-kurang 24 ahli Majlis, seorang Yang Dipertua baharu, dan kakitangan pentadbiran lain yang mana semuanya membabitkan pembayaran gaji serta elaun.
"Oleh itu, kita memfokus untuk menyelesaikan isu perjawatan dan memperkasakan struktur dalaman MPNPs mengikut tahap keperluan di setiap kawasan memandangkan setiap tempat seperti Padang Besar dan Kuala Perlis mempunyai ekosistem perniagaan yang berbeza," katanya.
























