ULU BARAM: Dua beranak termasuk seorang kanak-kanak ditemui maut, manakala dua lagi masih hilang selepas perahu dinaiki mereka dipercayai karam ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Long San di Sungai Baram, dekat sini, kelmarin.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata terdahulu kesemua mangsa dari Kampung Long Selatong itu dilaporkan menaiki sebuah perahu pada 20 Julai lalu sebelum gagal pulang ke rumah serta tidak dapat dihubungi oleh ahli keluarga.
"Kehilangan mereka menimbulkan kebimbangan penduduk kampung sebelum Balai Polis Long Lama menerima laporan daripada orang awam pada jam 11.23 pagi semalam berhubung perkara itu.
"Hasil maklumat awal mendapati sebuah perahu dipercayai dinaiki mangsa terbabit, ditemui dalam keadaan karam di Sungai Seperot, semalam," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada hari sama, menurutnya, seorang penumpang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dijumpai maut oleh penduduk kampung sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.
Mangsa dikenali sebagai Jovian Jangin Joshua dan mayatnya kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Long San untuk tindakan lanjut.
Operasi SAR kendalian Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marudi hari ini bermula seawal jam 6 pagi tadi, dengan pasukan mengambil masa kira-kira lima jam melalui laluan jalan balak sebelum tiba di lokasi kira-kira jam 12.30 tengah hari.
Ketika operasi dijalankan, penduduk kampung memaklumkan bahawa mereka menemui satu lagi mayat di tepi sungai kira-kira jam 8.50 pagi tadi, iaitu sekitar dua jam perjalanan menggunakan bot dari lokasi perahu karam.
Pasukan bomba kemudian menggunakan bot milik penduduk kampung untuk menuju ke lokasi penemuan mayat sebelum membawanya keluar dengan menggunakan pengusung.
Pengecaman identiti dilakukan oleh ahli keluarga mengesahkan mangsa adalah Joshua Uken Mathew, 38, yang juga bapa kepada Jovian Jangin.
Dua lagi mangsa belum ditemui, setakat ini, dikenal pasti sebagai Ceria Anak Dullah, 43, dan Jonathan Nyurang Lusut , 45.
Operasi SAR sedang diteruskan dengan memberi tumpuan di kawasan sepanjang sungai dan lokasi dikenal pasti berdasarkan maklumat penduduk kampung.
Operasi diketuai PBK I Eric anak Unyi membabitkan tiga anggota dari BBP Marudi dengan sebuah pikap jenis Triton.
Keadaan bentuk muka bumi yang mencabar serta jarak perjalanan jauh menjadi antara cabaran utama pasukan SAR untuk memasuki kawasan operasi.
Pihak bomba memaklumkan operasi SAR akan diteruskan hingga kedua-dua mangsa yang masih hilang itu berjaya dijumpai atau sehingga arahan lanjut dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
























