KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mencipta satu lagi kejayaan dalam bidang perubatan veterinar apabila berjaya melaksanakan pembedahan korektif pertama ke atas seekor anak lembu yang dilahirkan dengan kecacatan kongenital bibir sumbing di Fakulti Pertanian Lestari (FPL).
Kejayaan itu bukan sahaja membuktikan keupayaan UMS mengendalikan kes veterinar yang kompleks, malah memperkukuh peranannya sebagai institusi pendidikan tinggi yang menerajui pembangunan kepakaran, penyelidikan dan inovasi dalam bidang kesihatan haiwan ternakan.
Dekan FPL UMS, Profesor Dr Abd Hamid Ahmad, berkata kes membabitkan anak lembu yang dinamakan 'Joy' itu adalah yang pertama direkodkan di fakulti berkenaan sejak ladang ternakan universiti mula beroperasi dengan kumpulan induk baharu.
Katanya, walaupun kecacatan kongenital seperti bibir sumbing jarang berlaku, ia boleh berpunca daripada pelbagai faktor termasuk genetik, pemakanan induk ketika bunting serta faktor persekitaran yang menjejaskan perkembangan janin.
"Kes ini memberi peluang kepada warga FPL mengembangkan kepakaran dalam pengurusan kes veterinar, khususnya pembedahan korektif yang jarang dilaksanakan terhadap haiwan ternakan.
"Kami bukan sahaja berjaya menjalankan prosedur pembedahan itu, malah mendokumentasikan keseluruhan proses bagi tujuan pembelajaran, penyelidikan dan rujukan pada masa depan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata Joy dilahirkan dengan kecacatan pada bahagian bibir yang menjejaskan keupayaannya memotong rumput dengan sempurna, sekali gus menyebabkan pertumbuhannya sedikit terbantut berbanding anak lembu lain yang seusia.
"Walaupun masih mampu menyusu dan hidup secara normal, pasukan veterinar FPL mengambil keputusan menjalankan pembedahan korektif bagi meningkatkan fungsi pemakanan serta kualiti hidup haiwan berkenaan.
"Bagi memastikan prosedur berjalan lancar, Joy ditempatkan di kandang khas selama tiga bulan sebelum pembedahan dijalankan. Dalam tempoh itu, ia diberikan makanan berprotein tinggi, dipantau tahap kesihatannya serta dijinakkan bagi mengurangkan tekanan sepanjang proses rawatan dan pemulihan," katanya.
Abd Hamid berkata, kejayaan itu adalah hasil kerjasama erat doktor veterinar, kakitangan Unit Ternakan dan tenaga sokongan FPL yang berpengalaman mengendalikan pelbagai prosedur pembedahan termasuk pembedahan Caesarean (C-section) terhadap kambing dan lembu serta rawatan kes trauma haiwan ternakan.
"Koordinasi yang mantap serta pengalaman pasukan veterinar UMS membolehkan setiap prosedur dilaksanakan secara sistematik, selamat dan mengikut piawaian profesional.
"FPL juga mempunyai sistem pengurusan kes yang lengkap merangkumi rekod kesihatan, laporan klinikal, dokumentasi pembedahan dan pemantauan selepas rawatan, sekali gus memperkukuh kredibiliti UMS dalam bidang veterinar," katanya.
Menurutnya, dokumentasi kes seumpama itu penting sebagai rujukan kepada doktor veterinar, penyelidik, pelajar serta industri penternakan dalam mengendalikan kes kecacatan kongenital haiwan ternakan pada masa hadapan.
Katanya, pengalaman itu bukan sahaja memperkukuh latihan klinikal, malah menyumbang kepada pembangunan ilmu veterinar serta usaha meningkatkan kesejahteraan haiwan dan produktiviti industri penternakan melalui intervensi perubatan yang bersesuaian.
























