KULIM: Seorang lelaki warga Bangladesh didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan memiliki 11 pasport milik warganegara Bangladesh lain tanpa kuasa sah pada bulan lalu.
Tertuduh, Salman Mallik, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nor Hamizah Mat Shah.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki 11 dokumen pasport warganegara Bangladesh yang dikeluarkan untuk kegunaan orang lain tanpa kuasa sah yang dibenarkan ke atasnya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di kedai Salimun Enterprise di Taman Senangin, di sini, kira-kira jam 7 malam pada 27 Jun lalu.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 150) yang sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S Preeyaa, manakala tertuduh diwakili peguam, Lim Sheng Zhe.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan dua penjamin warga Malaysia dan menetapkan 13 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu.
Tertuduh membayar wang jaminan di kaunter Kompleks Mahkamah Kulim dan mengemukakan dua warga tempatan sebagai penjamin.
Media sebelum ini melaporkan seorang warga Bangladesh disyaki mempergunakan isterinya wanita tempatan berusia 69 tahun yang lumpuh, dengan mendaftarkan tiga syarikat atas nama wanita itu bagi membolehkannya memohon permit pekerja asing.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, lelaki berusia lewat 40-an itu kemudian dipercayai mengambil kesempatan daripada kedudukannya sebagai ejen berdaftar dengan Jabatan Imigresen untuk menyediakan permit kerja palsu kepada warga asing.






















